Berita Utama

PAS gesa generasi hari ini pertahan Islam walau berdepan cabaran

Islam tak boleh dihapuskan, inilah kekuatan perlu disedari masyarakat

BANGI, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin – Menjadi kewajipan kepada generasi hari ini untuk terus mempertahankan Islam daripada musuh walaupun terpaksa berdepan cabaran yang sukar.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, serangan untuk menghina dan menumpaskan Islam tidak akan mengurangkan kekuasaan Allah SWT serta kedudukan Nabi Muhammad SAW.

“Allah tetap memelihara agama-Nya, memelihara Rasul-Nya. Cahaya Islam tak boleh dipadamkan sekali-kali.

“Kita saksikan yang pernah berlaku di negara Sepanyol, Islam memerintah selama 800 tahun oleh Sepanyol. Sebab kealpaan umatnya, menjadikan Islam hilang yang tinggal hanyalah istana, bangunan, orangnya tak ada. Kubur orang Islam pun tak ada.

“Batu-batu kubur diambil dipunggah habis semua, dibongkar. Pada adatnya dah tamat dah Islam di Sepanyol.

“Tiba-tiba bila ada demokrasi di Sepanyol, muncul balik, ada lagi orang Islam di Sepanyol,” katanya seperti dipetik harakahdaily.net, hari ini.

Beliau yang berucap pada Syarahan Perdana Ulama Negarawan dan Pelancaran Yayasan Permata Ummah berkata, kisah sama turut berlaku di negara komunis yang dahsyat menentang Islam.

“Zaman Mao Zedong, Revolusi Kebudayaan, dibunuhnya ulama-ulama, mereka juga meroboh masjid dan ditukar menjadi kandang babi. Yang berhijrah, berhijrah. Yang mati, mati. Yang muda-muda tak benar dididik.

“Namun akhirnya, komunis hancur. Orang Islam muncul balik di Asia Tengah,” terang beliau.

Katanya, Islam tidak boleh dihapuskan sampai bila-bila dan inilah kekuatan yang perlu disedari oleh seluruh masyarakat.

Beliau dalam masa berkata, cabaran yang dilalui Nabi Muhammad SAW dalam memperjuangkan Islam tidak seberat pernah dilalui kaum terdahulu termasuklah Nabi Musa, Nabi Nuh dan Nabi Ayub.

Katanya dengan mengingati perjuangan terdahulu pasti akan menambahkan kekuatan umat Islam hari ini.

Justeru, generasi hari ini digalakkan mendekatkan diri dengan Allah SWT dengan mengasingkan diri serta bertahajud di waktu malam.

“Kita dengan tuhan saja. Masa itulah ikhlasnya, orang tak ada tengok, Kita seorang sahaja, masa itulah kita fikir, bila fikir tentang syurga, segala tawaran-tawaran dunia kepada kita ni kecil je banding dengan syurga,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button