Berita Utama

Pasangan hina Islam selesai bayar wang jaminan hasil dana awam

Peguam belum sahkan pasangan berkenaan akan dibebaskan

BANGI, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin – Pasangan didakwa menghina Islam, Siti Nuramira Abdullah dan V Alexander Navin membayar, wang jaminan masing-masing berjumlah RM20,000.

Wang jaminan berjumlah RM40,00 tersebut dipercayai hasil sumbangan orang ramai yang dimasukkan ke dalam akaun kumpulan hak asasi manusia, Lawyers For Liberty (LFL).

Siti Nuramira dan Navin masing-masing dijamin oleh rakan mereka di Kaunter Bayaran Jaminan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan Petaling Jaya iaitu di tempat di mana mereka didakwa melalui peguam R Sivaraj.

Bagaimanapun, Sivaraj berkata, beliau tidak dapat mengesahkan bila anak guamnya, Siti Nuramira yang ditahan di Penjara Satelit Beranang manakala Navin di tahan di Penjara Satelit Kuala Kubu Bharu akan dibebaskan.

Menurut peguam tersebut, wang jaminan berjumlah RM40,000 yang berjaya dikumpul adalah hasil kutipan sumbangan orang ramai dengan menggunakan akaun LFL.

“LFL mengeluarkan dana itu kepada saya sebagai pemegang amanah. Saya akan menyerahkannya kepada penjamin, yang kemudiannya akan membuat bayaran kepada mahkamah serta disimpan dalam jagaan mahkamah.

“Prosedur ikat jamin akan dilakukan hari ini, tetapi kami tidak pasti bila mereka akan dibebaskan, selaku peguam, saya berpandangan tertuduh sepatutnya dibebaskan serta-merta selepas membayar wang ikat jamin.

“Kebiasaannya, kami memahami dalam tempoh pandemik ini berlaku kelewatan pembebasan mereka yang disebabkan oleh faktor teknikal, pengangkutan dan kuarantin,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Rabu lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, 4 Jun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali membenarkan Siti Nuramira diikat jamin RM20,000 oleh seorang penjamin sambil memberi amaran kepada wanita berusia 26 tahun itu supaya tidak mengulas mengenai kes berkenaan.

Pada hari yang sama, Navin juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Bagi pertuduhan pertama, Navin didakwa berkongsi di akaun Instagram pada 5 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Kejadian berkenaan tular di media sosial sehingga menyebabkan banyak pihak mengecam tindakan selain menuntut kedua-dua mereka dikenakan hukuman setimpal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button