PEMBELA gesa tindakan tegas, tuntas terhadap penghina Islam
Minta siasat 3 kementerian didakwa mendanai Crackhouse Comedy
BANGI, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menggesa, satu tindakan tegas dan tuntas kepada mana-mana pihak atau individu yang sengaja mencetuskan kekacauan melalui penghinaan terhadap agama Islam dan bangsa Melayu.
Ini berikutan siri insiden penghinaan dan tindakan provokatif yang dilakukan beberapa individu kebelakangan ini, yang bersifat lapuk dan berniat jahat.
Sehubungan itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya meminta, pihak berkuasa menyiasat, mengambil tindakan tegas dan tuntas kerana dibimbangi ada yang akan mengambil tindakan di luar undang-undang memandangkan agama serta bangsa adalah isu sensitif.
“Gejala ini tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana ia akan menjejaskan suasana harmoni.
“Tidak mustahil ada pihak yang ingin menimbulkan suasana huru-hara dan menunggang atas ‘pelawak’ murahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, PEMBELA merujuk klip video tular Siti Nuramira Abdullah membuka tudung dan baju kurung setelah mengumumkan ‘menghafaz’ 15 juzuk al-Quran diikuti sorak serta tepuk tangan penonton Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bulan lepas.
Ini termasuklah lawak rasis pemilik kelab komedi itu, Rizal van Greyzel dan terbaharu seorang lelaki Melayu yang dibelasah kerana menghina Islam serta Nabi Muhammad SAW.
Mengulas perkara itu, Aminuddin mengucapkan tahniah kepada tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas semua individu terbabit, termasuk premis Crackhouse Comedy Club yang juga didapati menyalah guna lesen perniagaan.
Beliau bagaimanapun menegaskan, penutupan sementara premis itu adalah tidak memadai, dan seharusnya kelab komedi berkenaan ditutup terus supaya menjadi pengajaran untuk pemilik lain pada masa akan datang.
“Kami juga difahamkan tiga kementerian terlibat memberi dana kepada Crackhouse Comedy Club melalui platform CENDANA dan PENJANA.
“PEMBELA mohon hal ini juga disiasat dan supaya dihentikan pendanaan kepada syarikat-syarikat yang sedemikian pada masa yang akan datang.
“Lebih ramai lagi rakyat yang memerlukan bantuan sejak mutakhir ini,” katanya.
Justeru, PEMBELA menyeru semua pihak untuk menyokong kenyataan itu dan meminta pihak berkuasa khususnya PDRM supaya menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang ingin menimbulkan kekacauan serta suasana tidak harmoni kepada umat Islam di negara ini.