Berita Utama

Penghinaan Islam semakin membarah, masyarakat perlu ‘ubat’ segera

Para penguasa digesa garap pelan pulihkan masyarakat ‘sakit’ sekarang

BANGI, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin – Perkembangan semasa tentang penghinaan terhadap Islam nyata membimbangkan dan ia semakin parah serta membarah, demikian kata Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Beliau berkata, keterujaan dalam kalangan individu dan kumpulan untuk bebas bersuara telah menampilkan kepada khalayak betapa sakitnya masyarakat ini. 

Justeru, tegasnya, masyarakat memerlukan kepada ‘ubat’ yang segera dan berkesan supaya kejadian penghinaan Islam ini tidak berleluasa.

Beliau berkata, undang-undang mempunyai peruntukan yang dimuatkan dalam Kanun Keseksaan dan Undang-undang Syariah, berkaitan juga adalah Akta Hasutan. 

“Undang-undang ini menyediakan hukuman. Berat atau ringan hukuman masih perlu kita bahaskan. 

“Namun, persoalan lebih besar ialah keberkesanan hukuman berkenaan. Ini juga perlu diketengahkan. 

“Kita kena fikir jenis dan bentuk hukuman. Para ulama dan umarak serta cendekiawan penalogi perlu tampil atau ditampilkan oleh pihak berautoriti dalam kadar segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Prof Shamrahayu berkata, penghayatan kepada kesucian agama Islam perlukan pendidikan, dakwah, dialog malah peranan keluarga dan masyarakat diambil berat. 

“Pendidikan tentang kesucian agama Islam perlu dikukuhkan melalui pengukuhan institusi keluarga dan masyarakat. Bahkan pengukuhan kepada amalan agama perlukan dasar yang jelas, sama ada dalam pendidikan formal atau tidak formal. 

“Ilmu, akhlak dan kegiatan amar ma’ruf nahi munkar perlu dijadikan teras. Ini bukan tugas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sahaja,” katanya.

Tegasnya, ini bukan tugas pihak berkuasa agama sahaja tetap ia turut memerlukan penglibatan pelbagai agensi atau kementerian termasuk media yang memainkan peranan.

“Para penguasa, segeralah garap Pelan Strategik Raya untuk memulihkan sakit masyarakat kita sekarang. 30 tahun belum tentu kita akan berjaya, jadi segerakanlah. Kita bentuk generasi Solahuddin al-Ayyubi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button