Berita Utama

Saman ibu bapa benar anak bawah umur keluar tengah malam: CAP

‘Mereka sepatutnya berada di rumah tidur, buat apa di jalan raya tengah malam’

GEORGETOWN, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menuntut pihak berkuasa menghentikan lumba haram melibatkan mat rempit untuk selama-lamanya.

“Semua orang tahu lumba haram di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu adalah perkara biasa. Ia berlaku walaupun pada waktu siang. Pihak berkuasa tempatan mesti memasang lebih banyak kamera di lebuh raya,” kata Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow.

Beliau mengulas kematian empat penunggang motosikal dalam kemalangan di lebuh raya pada awal pagi Ahad.

Terdahulu, polis berkata, siasatan awal kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 pagi itu mendapati ia melibatkan beberapa penunggang motosikal yang disyaki berlumba haram.

Subbarow seperti dilapor NST juga berkata, pihak berkuasa perlu merampas motosikal yang telah diubah suai.

“Kedai-kedai yang mengubah suai motosikal mesti diberi amaran,” katanya sambil menambah bahawa had laju motosikal perlu dikekalkan rendah.

Pada masa sama, beliau mahu ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka di bawah umur keluar dari rumah pada waktu tengah malam sebegitu disaman.

“Atas sebab apa anak, umur 17 tahun, berada di jalan raya pada masa itu? Mereka sepatutnya berada di rumah tidur.

“Ibu bapa mesti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada anak-anak mereka yang masih kecil,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button