Berita Utama

Tragedi MH17: Dewan Rakyat ucap takziah kepada ahli keluarga penumpang, kru

Ahli Parlimen beragama Islam sedekah bacaan surah al-Fatihah

KUALA LUMPUR, 18 Zulhijjah 1443H, Isnin – Dewan Rakyat hari ini merakam ucapan takziah kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014.

Tragedi itu genap lapan tahun semalam.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun menyatakan perkara itu sebelum sesi soal jawab bermula.

“Saya dan semua Ahli-Ahli Dewan Rakyat (Parlimen) amat bersedih dengan insiden itu dan dengan demikian melahirkan rasa simpati yang tidak terhingga kepada keluarga penumpang dan sahabat handai serta anak-anak kapal MH17.

“Saya berdoa agar keluarga penumpang dan anak-anak kapal pesawat itu kekal tabah dan cekal dalam mengharungi dugaan ini. Saya bagi pihak Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Parlimen seluruhnya merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga penumpang dan anak-anak kapal pesawat MH17,” katanya.

Beliau kemudiannya menjemput semua Ahli Parlimen untuk bangun, dengan yang beragama Islam diminta membaca surah al-Fatihah manakala bukan beragama Islam bertafakur selama satu minit.

Pesawat Boeing 777 itu dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine, mengorbankan 298 penumpang termasuk kru pesawat itu.

Terdahulu, Azhar berkata Malaysia berada dalam fasa ‘Peralihan ke Endemik’ dan penekanan terus diberi kepada usaha-usaha menangani risiko penularan COVID-19 dengan mengambil langkah-langkah kesihatan awam yang sewajarnya.

“Bagi memastikan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas ini dapat dilaksanakan dalam keadaan lancar dan selamat, surat edaran prosedur operasi standard (SOP) MySOP dan Garis Panduan Kemasukan Ahli Parlimen dan Pegawai Pengiring telah diedarkan di atas meja Ahli-Ahli Yang Berhormat,” katanya.

Azhar berkata langkah-langkah sama turut diambil seperti yang dimaklumkan pada 14 Sept tahun lepas untuk meningkatkan kualiti udara dalaman bagi membasmi virus COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button