Isu hina Islam agenda dirancang oleh pihak tertentu?
PEMBELA gesa siasatan diadakan, waspada anasir luar ada agenda tak baik

BANGI,19 Zulhijjah 1443H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mempersoalkan adakah isu menghina agama Islam yang berlaku di negara ini sebenarnya dirancang oleh pihak-pihak tertentu.
Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya melahirkan kehairanan kerana individu berkenaan begitu mudah mendapat sokongan kewangan termasuk dari luar negara.
“Sebaik sahaja saya membaca berita ini dan mendapat tahu beliau begitu mudah mendapat sokongan kewangan, saya terfikir, siapa sebenarnya mereka ini?
“Walaupun nampak seperti sudah tiada sebab pun untuk sesiapa terutamanya di Malaysia untuk menyokong tindakan-tindakan mereka ini, namun tiba-tiba ada dukungan antarabangsa. Sangat luar biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pasangan didakwa menghina Islam, Siti Nuramira Abdullah dan V Alexander Navin membayar wang jaminan masing-masing berjumlah RM20,000.
Wang jaminan keseluruhan berjumlah RM40,00 tersebut dipercayai hasil sumbangan orang ramai yang dimasukkan ke dalam akaun kumpulan hak asasi manusia, Lawyers For Liberty (LFL).
Mengulas lanjut, Aminuddin mendakwa, tidak mustahil si pelaku berkenaan yang dikatakan mendapat dokongan dari luar negara ini sebenarnya dari mana-mana organisasi atau agensi.
Malah, dakwanya lagi, tidak mustahil juga dokongan itu datang dari sesebuah kerajaan kerana memang itu sudah menjadi modus operandi negara kuasa besar dan proksinya.
Justeru, beliau menyarankan supaya siasatan dilakukan segera dan perlu berwaspada kepada sebarang anasir luar yang mempunyai agenda tidak baik.
“Apatah lagi anasir luar yang melibatkan penghinaan dan tindakan mempersenda terhadap Islam yang merupakan asas utama kenegaraan kita,” tegas beliau.