Berita Utama

Isu hina Islam: Bukti kerajaan rapuh, lebih fokus politik berbanding agama

Perlu dibanteras segera bimbang jadi normalisasi dan ikutan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 19 Zulhijjah 1443H, Selasa – Isu menghina agama Islam melibatkan seorang wanita jelas membuktikan kerajaan kini rapuh dan hanya mengutamakan kepentingan politik sehingga mengabaikan keperluan yang sebenar.

Kerajaan tidak sepatutnya membiarkan Islam diperkotak-katikkan kerana menjaga kesuciannya sudah termaktub dalam Perlembagaan, demikian kata Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim.

“BERJASA melihat bahawa kerajaan semasa tidak menunjukkan kuasa yang sebenar, sebaliknya lebih ke arah politik yang berkepentingan sehingga mengabaikan perkara yang lebih penting.

“Dalam perkara ini, kita tidak boleh mendiamkan diri apabila ada individu yang cuba mengusik melibatkan agama Islam di negara ini, sebaliknya perlu buktikan fungsi sebenar kerajaan selain menjaga agama.

“Perdana Menteri sebagai orang nombor satu negara hendaklah berani bersuara di dalam isu menghina agama ini. Inilah sebenarnya kewibawaan sebagai seorang pemimpin tinggi negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Zamani dalam masa sama berkata, perkara ini perlu dibanteras sepenuhnya kerana dibimbangi menjadi satu normalisasi dan ikutan kepada pihak lain.

Namun sayangnya, tegas beliau, kerajaan tidak melihat perkara berlaku sebagai sesuatu yang serius.

Katanya, pihak berkuasa perlu bertindak segera dan menyiasat kemungkinan berlakunya agenda tersirap oleh pihak-pihak berkepentingan.

“Kita sebenarnya pelik, ada pihak luar yang bersedia menyumbangkan dana dalam tempoh yang sekejap ini, dan perkara ini perlu diteliti dan siasat supaya tidak mendatangkan bencana kepada semua pihak,” katanya.

Justeru Ustaz Zamani melihat, kegagalan berlaku kepada pimpinan kerajaan sepatutnya membuka peluang kepada masyarakat supaya menggantikan mereka dengan yang lebih segar dan mengutamakan agenda negara, bangsa serta agama.

Sebelum ini, tular wanita mengaku muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran bertindak luar batasan apabila membuka tudung dan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Kesalahan tersebut dilakukan di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, 4 Jun lepas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button