Berita Utama

Malaysia paling mudah dikunjungi pelancong pada pasca pandemik

Polisi insurans bukan prasyarat warga asing memasuki negara ini

KUALA LUMPUR, 19 Zulhijjah 1443H, Selasa – Malaysia adalah salah satu negara yang paling mudah untuk dilawati dalam era pasca pandemik (COVID-19), kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata ini termasuk kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bermula 1 Mei lalu dengan pengembara yang telah lengkap divaksinasi dan individu bawah 17 tahun dikecualikan daripada ujian COVID-19 prapelepasan dan semasa ketibaan.

“Polisi perlindungan insurans bukan prasyarat untuk warga asing memasuki negara ini,” katanya pada jamuan malam menjalin rangkaian dengan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Thailand (TTAA) di sini.

Nancy berkata Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran tentang bandaraya bersejarah Melaka sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO dan pengiktrafan tersebut diharap dapat meningkatkan lagi kedatangan warga Thailand.

“Thailand adalah seperti abang besar kami dan kekal sebagai salah satu pasaran jarak dekat,” katanya.

Nancy berkata Malaysia merekodkan lebih 1.8 juta ketibaan pelancong Thailand pada 2019 dengan hampir 70 peratus adalah pengembara berulang untuk bercuti, membeli-belah dan melawat rakan dan saudara mara mereka.

Beliau berkata aktiviti popular pelancong Thailand ialah bersiar-siar di bandar, membeli-belah dan melawat tapak bersejarah termasuk muzium dan negeri yang paling banyak dikunjungi ialah Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.

Kami (Malaysia dan Thailand) bukan sahaja akrab sebagai negara jiran, tetapi Malaysia juga destinasi nilai untuk wang,” kata Nancy.

Bercakap kepada pemberita selepas acara itu, Nancy berkata Malaysia menyasarkan dua juta pelancong Thailand melawat negara ini menjelang akhir tahun ini.

Nancy berkata Malaysia mungkin menyemak semula bilangan kedatangan pelancong pada September ini memandangkan jumlah pelancong yang datang ke negara ini adalah menggalakkan pada masa ini.

Malaysia pada mulanya menyasarkan ketibaan dua juta pelancong sejak negara itu membuka semula sempadannya pada 1 April. Jumlah itu meningkat kepada 4.5 juta pelancong bulan lepas dan penyumbang utama ketibaan pelancong ialah dari Singapura diikuti India dan Thailand.

Sementara itu, presiden TTAA, Charoen Wangananont, dalam ucapan terima kasihnya, menyatakan komitmennya untuk mempromosikan Malaysia khususnya Melaka kepada rakyat Thailand.

Tourism Malaysia berkata seramai 97 anggota delegasi TTAA, pengusaha pelancongan dan media telah dijemput untuk lawatan suai kenal selama empat hari tiga malam di Kuala Lumpur, Genting Highlands dan Melaka dari 18 hingga 21 Julai.

Lawatan suai kenal itu bertujuan untuk menjadi platform bagi TTAA untuk mewujudkan rangkaian dan hubungan bersama dengan Tourism Malaysia, selain mengumpulkan pengetahuan tentang kemas kini produk pelancongan di Malaysia untuk disebarkan kepada ahli dan pelanggan TTAA. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button