Berita UtamaIstimewa

Pelik! Pasangan hina Islam tiba-tiba terima sokongan antarabangsa

Pihak berkuasa perlu siasat siapa di belakang mereka: YDP Berjasa

BANGI, 19 Zulhijjah 1443H, Selasa – Hasil sumbangan orang ramai dari dalam dan luar negara kepada pasangan yang didakwa menghina Islam ternyata mengejutkan ramai pihak terutamanya umat Islam.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Yang Di-Pertua (YDP) BERJASA Larut, Zulkifli Yahya mengakui beliau tertanya-tanya pihak mana yang menyokong pasangan berkenaan.

“Siapa sebenarnya mereka ini? Siapa di belakang mereka? Adakah ejen-ejen luar negara ini dah bertapak di Malaysia melalui institusi atau persatuan?” soalnya.

Beliau menegaskan bahawa seluruh rakyat Malaysia yang cintakan Islam dan Rasul tidak akan menyokong mereka yang mempersenda Islam dan menghina Rasulullah ﷺ.

“Namun tiba-tiba ada sokongan dan dukungan antarabangsa. Sangat luar biasa. Pihak berkuasa perlu segera menyiasat perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Siti Nuramira Abdullah dan V Alexander Navin selesai membayar ikat jamin masing-masing berjumlah RM20,000 setiap seorang.

Ia selepas kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) berjaya mengumpul RM40,000 untuk ikat jamin pasangan itu.

Walaupun wang jaminan sudah dilunaskan dan dilepaskan namun Siti Nuramira ditahan semula, hari ini.

Dia ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas menandatangani Borang Jamin dengan ditemani peguamnya Ramesh Chandran di Kaunter Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur jam 10.20 pagi.

Berdasarkan prosedur, Siti Nuramira akan ditahan oleh Jawi selama 24 jam sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah esok untuk dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian III-Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya.

Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali, membenarkan Siti Nuramira diikat jamin RM20,000 oleh seorang penjamin dan turut memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes itu.

Pada hari sama, Navin, 38, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Bagi pertuduhan pertama, Navin didakwa berkongsi di akaun Instagramnya pada 5 Jun dengan niat untuk menghina orang lain manakala pertuduhan kedua, dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTubenya pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus membenarkan Navin diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 September untuk sebutan semula kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button