Berita Utama

Pemimpin politik dikenal pasti putar belit kenyataan PM

MCMC sudah diminta ambil tindakan susulan ikut saluran, peraturan

KUALA LUMPUR, 19 Zulhijjah 1443H, Selasa – Seorang pemimpin parti politik telah dikenal pasti menyebarkan sebahagian petikan video mengelirukan yang cuba memutarbelitkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat berhubung penggunaan minyak paket bersubsidi oleh ‘Makcik Goreng Pisang.’

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata individu yang menyebarkan petikan video itu menerusi akaun media TikTok miliknya telah dikenal pasti oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Kita telah meminta MCMC mengambil tindakan susulan mengikut saluran dan peraturan yang biasa.

“… saya percaya ahli Parlimen semuanya mengikuti dengan baik (jawapan Perdana Menteri semalam) dan ahli Parlimen semua tentunya gembira dengan penjelasan yang jelas diberikan oleh Perdana Menteri, ini dibuat oleh mereka yang bukan ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Semalam di Dewan Rakyat, ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakan kerajaan dalam menangani ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan kaya, Ismail Sabri berkata minyak masak paket adalah untuk kegunaan domestik tetapi terdapat peniaga termasuk peniaga kecil yang turut menggunakannya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button