Berita UtamaDunia

Cegah hospital sesak, Ho Chi Minh lanjut sekatan pergerakan

Kadar vaksinasi masih rendah, hanya 5.2 peratus dari 98 juta penduduk

HANOI, 6 Safar 1443H, Isnin – Ho Chi Minh City akan melanjutkan sekatan pergerakan, tatkala ibu kota Hanoi dan beberapa wilayah berusaha mengurangkan sekatan.

Menurut pihak berkuasa bandar, lanjutan sekatan pergerakan sehingga akhir September perlu bagi mengasingkan kluster, mempercepatkan inokulasi serta mencegah hospital sesak di bandar yang berjumlah 9 juta orang.

“Secara keseluruhan, Ho Chi Minh City masih berada di bawah sekatan selama dua minggu lagi,” kata surat khabar Dan Tri yang memetik Naib Pengerusi bandar, Duong Anh Duc.

Dilaporkan di beberapa daerah, restoran dibenarkan dibuka hanya untuk makanan dibawa pulang serta penduduk boleh keluar mencari makan.

Meskipun lebih daripada 1 juta suntikan vaksin diberikan sejak akhir-akhir ini, kadar vaksinasi Vietnam sebanyak 5.2 peratus dari 98 juta penduduknya – salah satu yang terendah di rantau ini.

Vietnam mencatatkan lebih daripada 610,000 jangkitan dan 15,000 kematian, kebanyakannya sejak Mei.

Pusat perniagaan Ho Chi Minh City menyumbang separuh daripada jangkitan tersebut dan 80 peratus kematian.

Ibu kota Hanoi, pusat perindustrian selatan Binh Duong dan beberapa wilayah di Mekong Delta mengurangkan sekatan, secara beransur-ansur, kata pihak berkuasa.

Sementara itu, pihak berkuasa penerbangan awam telah mengusulkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk memulakan semula penerbangan domestik dalam tiga fasa selepas penangguhan selama sebulan, lapor akhbar Nguoi Lao Dong. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button