Berita Utama

Program Peranti Siswa fasa kedua dibuka mulai 1 Ogos

Pelajar dari keluarga B40 dengan pendapatan keluarga di bawah RM4,850 sebulan layak mohon

BANGI, 19 Zulhijjah 1443H, Selasa – Program Peranti Siswa masih lagi sedang berjalan dan tetap diteruskan seperti yang dirancang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, untuk fasa pertama Program Peranti Siswa yang ditutup pada bulan lalu, hampir 100,000 permohonan sedang diproses dan penyerahannya akan dibuat pada bulan hadapan.

Beliau memaklumkan kementeriannya telah membuat keputusan untuk membuka semula permohonan Program Peranti Siswa fasa kedua mulai 1 Ogos sehingga 30 September depan.

“Dalam permohonan fasa kedua ini, kerajaan telah bersetuju untuk memperluaskan kelayakan bagi pemohon peranti di bawah Program Peranti Siswa,” katanya.

Katanya, fasa kedua itu akan diperluaskan kepada pelajar Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan kolej matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Mereka yang datang daripada keluarga B40 yang pendapatan keluarga di bawah RM4,850 sebulan layak untuk membuat permohonan secara dalam talian mulai 1 Ogos dan akan ditutup pada 30 September bagi permohonan fasa kedua.

“Penyerahan peranti bagi fasa kedua dijangka dapat dilakukan sebaik sahaja proses permohonan fasa dua ditutup iaitu kira-kira pada bulan Oktober akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button