Berita Utama

Selepas dibebaskan, Siti Nuramira ditahan pula pihak Jawi

Jangka dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah esok

BANGI, 19 Zulhijjah 1443H, Selasa – Walaupun wang jaminan sudah dilunaskan dan dilepaskan namun Siti Nuramira Abdullah, wanita yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan ditahan semula, hari ini.

Wanita berusia 26 tahun tersebut ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas menandatangani Borang Jamin dengan ditemani peguamnya Ramesh Chandran di Kaunter Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pukul 10.20 pagi.

Berdasarkan prosedur, Siti Nuramira akan ditahan oleh Jawi selama 24 jam sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah esok untuk dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian III-Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya.

Seksyen tersebut membabitkan kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina yang mana jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Semalam, wanita kelahiran Kuala Kangsar itu dan teman lelakinya V Alexander Navin, selesai membayar ikat jamin masing-masing berjumlah RM20,000 melalui hasil kutipan sumbangan dana awam dari luar negara.

Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni di kalangan sesama Islam.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengaku seorang beragama Islam, telah menghafal 15 juzuk al-Quran, bertindak luar batasan apabila membuka tudung dan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, 4 Jun lepas.

Video berdurasi 54 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita mendakwa dirinya beragama Islam dan bertindak menanggalkan baju kurung dan tudungnya dan hanya memakai pakaian mencolok mata sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Susulan itu, wanita itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya, pada 9 Julai lalu dan direman selama tiga hari manakala Alexander Navin ditahan pada 10 Julai.

Sementara di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Navin turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di laman sosial Instagram serta YouTube, bulan lalu.

Pautan terdahulu;

Pasangan hina Islam selesai bayar wang jaminan hasil dana awam

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button