Berita Utama

Cari solusi! 72.1 peratus tak sambung belajar lepas SPM membimbangkan

iGuru saran tubuh jawatankuasa khas babit ramai pihak

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 20 Zulhijjah 1443H, Rabu – Tidak dapat dinafikan hasil kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai prestasi pencapaian pendidikan rakyat Malaysia pada 2019 membimbangkan.

Hasil kajian itu mendapati bahawa 72.1 peratus daripada rakyat negara ini memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Perkara itu dikhuatiri akan memberi kesan kepada produktiviti negara bahkan tidak mustahil usaha melahirkan lebih ramai teknokrat yang diperlukan pada masa depan terganggu.

Sehubungan itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan menggesa, Kementerian Pendidikan (KPM) segera menangani isu berkenaan dan pada masa sama mencari solusi bagi mengelak ramai pelajar terbantut pendidikan mereka di tahap SPM sahaja.

“Satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan melibatkan pelbagai pihak kerajaan, pakar pendidikan, pemegang taruh pendidikan, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mencari pendekatan terbaik untuk tangani isu ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Selain itu, beliau menegaskan kemiskinan dan beban hidup perlu ditangani oleh pihak berkenaan.

Langkah itu perlu bagi mengelakkan ramai pelajar berhenti awal selepas SPM untuk membantu ibu bapa mereka.

“Akhirnya negara kehilangan ramai bakat dan potensi yang diperlukan serta guna tenaga mahir,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button