Berita Utama

Hari Peradaban Bangsa Melayu angkat kedudukan Melayu ke tempat sewajar

Sasar kehadiran 50,000 pengunjung angkat budaya, kesenian Melayu

Oleh Zuhayati Yazid

KUALA LUMPUR, 20 Zulhijjah 1443H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berhasrat untuk menganjurkan Hari Peradaban Bangsa Melayu pada hujung bulan ini.

Ia bertitik tolak daripada rasa tanggungjawab untuk melihat peradaban, budaya dan kesenian orang Melayu diangkat di kedudukan yang sewajarnya.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, tidak dinafikan ada pihak yang menganjurkan program mengangkat budaya Melayu sebelum ini.

Namun, katanya, ia tidak melibatkan gabungan yang besar seperti mana dirancangkan oleh pihak PEMBELA pada 30 Julai ini iaitu bersama 1 Muharram.

“Jadi ini merupakan inisiatif beberapa NGO yang cuba untuk mengangkat peradaban dan budaya orang Melayu di kedudukan yang sewajar memandangkan kita merupakan negara yang asal adalah milik orang Melayu dan beragama Islam.

“Maka, tidak wajar sekiranya kalau budaya-budaya ini kita tidak angkat sebagaimana yang sepatutnya, selama ini kita lihat budaya-budaya lain yang dimasukkan sehinggakan masyarakat di negara kita keliru dengan budaya sebenar orang Melayu sendiri.

“Dengan ada filem epik Mat Kilau telah melahirkan kesedaran semua pihak akan keperluan budaya orang Melayu diangkat (ke tempat) yang sewajar, sebab itu kita merasakan masa yang tepat untuk mengadakan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai Hari Peradaban Bangsa Melayu, di sini hari ini.

Program itu bakal menghimpunkan 50,000 pengunjung, selain menjadi tarikan pelancong luar dengan menampilkan beberapa perkara melibatkan kehebatan masyarakat Melayu di negara ini.

Program julung kali itu bakal diadakan di Padang Merbok dan akan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Antara yang akan ditampilkan termasuklah pameran busana Melayu, seni persilatan, keris dan perarakan sempena Maal Hijrah.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk memohon supaya 1 Muharram pada setiap tahun dijadikan sebagai Hari Peradaban Bangsa Melayu.

Jelasnya, program berkenaan mempunyai matlamat dan hala tuju yang besar iaitu mahu melihat kepada perubahan gaya pemikiran masyarakat setanding zaman kegemilangan orang Melayu pada masa dahulu.

“Melalui program ini juga kita dijangka menghimpun usahawan-usahawan yang melambangkan budaya Melayu supaya memberi peluang perniagaan kepada mereka seperti peniaga capal, keris serta buku-buku sejarah Melayu yang selama ini dipinggirkan.

“Selain itu kita juga turut menampilkan elemen agama dalam program ini bagi mengembalikan semula jati diri bangsa Melayu dan orang lihat bangsa yang hebat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua rakyat di negara ini sama-sama untuk datang memeriahkan majlis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button