Berita Utama

Isu kestabilan rantaian bekalan makanan tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Turut ditanya konsep Pelancongan Islamik di negara ini

KUALA LUMPUR, 20 Zulhijjah 1443H, Rabu – Persoalan mengenai cabaran yang dihadapi sektor agromakanan dalam memastikan rantaian bekalan makanan negara kekal stabil dan lancar antara topik yang dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang rasmi Parlimen, soalan itu diajukan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Charles Anthony Santiago (PH-Klang) pula bertanyakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sekiranya kementerian itu mempunyai rancangan memperkenalkan cuti haid dan subsidi tuala wanita sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita dari keluarga B40.

Tumpuan juga dijangka diberikan kepada soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang bertanya kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai sejauh mana konsep Pelancongan Islamik diketengahkan dalam memajukan sektor pelancongan di Malaysia.

Isu mengenai masalah bank scam yang kerap berlaku melibatkan wang dalam akaun pendeposit bank dipindah tanpa pengetahuan pula disentuh Chong Chieng Jen (PH-Stampin) melalui soalan yang diajukan kepada Menteri Kewangan.

Beliau bertanyakan mengenai dasar dan langkah yang akan diambil oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia bagi mengatasi perkara itu, selain langkah untuk memulihkan keyakinan rakyat ke atas keselamatan wang mereka di bank.

Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi pembentangan untuk bacaan kali pertama bagi 10 Rang Undang-Undang, antaranya Rang Undang-Undang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2022.

Selesai sesi tersebut, persidangan akan diteruskan dengan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button