Berita Utama

KDN akan bentang semula usul lanjut subseksyen 4(5) SOSMA

105 Ahli Parlimen bersetuju batal keputusan dewan 23 Mac lepas

KUALA LUMPUR, 20 Zulhijjah 1443H, Rabu – Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul membatalkan keputusan dewan pada 23 Mac lepas yang menolak lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Usul yang dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 36(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat itu diluluskan setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 105 Ahli Parlimen bersetuju manakala 83 tidak bersetuju dan 32 tidak hadir.

Susulan keputusan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan semula usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) akta berkenaan yang membolehkan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini, pada persidangan kali ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika menggulung perbahasan usul itu berkata pembatalan keputusan usul terdahulu akan membolehkan beliau memasukkan usul baharu bagi membolehkan Subseksyen 4(5) SOSMA diteruskan.

Ketika membentangkan usul itu, beliau berkata senarai kesalahan di bawah Jadual Pertama SOSMA merupakan kesalahan jenayah yang amat serius, kompleks serta boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam serta memerlukan tempoh siasatan yang panjang.

“Sebagai contoh, pada 24 Mei 2022, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat tangkapan di bawah SOSMA terhadap 14 individu yang terlibat dalam sindiket menjalankan aktiviti haram pengedaran dadah dan penyeludupan senjata api ke negara jiran.

…manakala beberapa kes yang ditangkap pada pertengahan bulan Julai ini, termasuk 17 orang dalam kes penyeludupan migran, jika tidak dilanjutkan usul ini, akan menyebabkan terbantut usaha PDRM dari segi siasatan dan suspek-suspek akan terlepas,” katanya.

Hamzah berkata sekiranya tempoh tahanan 28 hari itu tidak dilanjutkan, KDN bimbang usaha untuk menangani kumpulan jenayah terancang dan ancaman kumpulan keganasan akan terjejas.

“Saya percaya jika suspek-suspek ini dilepaskan, suspek ini boleh mengganggu rantaian bukti dan kesannya jenayah-jenayah keselamatan ini akan semakin berleluasa,” katanya.

Usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) akta itu tidak diluluskan ketika dibentang pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Rakyat lepas, setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 85 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (3), perkara yang telah diputuskan pada penggal sama, tidak boleh ditimbangkan semula oleh dewan dan perlu menunggu penggal hadapan untuk dipertimbangkan semula.

“Tetapi kalau hendak ditimbangkan semula perkara yang telah dibuat ketetapan itu, ketetapan tersebut perlu dibatalkan terlebih dahulu, barulah boleh usul yang sama diusulkan pada sesi yang sama,” katanya.

Peraturan Mesyuarat 36 (3) menyebut: “Adalah salah pada peraturan mesyuarat jika dicuba menimbangkan semula apa-apa perkara tertentu yang telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat dalam penggal Majlis yang ada sekarang, kecuali dengan dikeluarkan usul bersendiri bagi membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat berkenaan dengan perkara itu”.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button