Berita UtamaDunia

Kes jangkitan COVID-19 di Australia hampiri rekod tertinggi

Rakyat digesa kerja dari rumah, pakai pelitup muka di tempat tertutup

SYDNEY, 20 Zulhijjah 1443H, Rabu – Rakyat Australia digesa bekerja dari rumah dan memakai pelitup muka di kawasan tertutup berikutan peningkatan jumlah pesakit COVID-19 di hospital dan kes jangkitan menghampiri rekod tertinggi.

Negara itu berada di tengah-tengah gelombang ketiga coronavirus yang didorong oleh subvarian BA.4 dan BA.5 Omicron, dan awal bulan ini meluaskan akses kepada suntikan dos penggalak kedua bagi menangani lonjakan kes.

Kes harian meningkat kepada 50,248 pada Selasa, tertinggi dalam tempoh dua bulan.

Kira-kira 5,239 pesakit COVID-19 kini berada di hospital, kurang daripada rekod 5,390 yang dicatatkan pada Januari.

“Kita perlu melakukan beberapa perkara secara berbeza sekurang-kurangnya untuk tempoh yang singkat.

“Kita tahu bahawa bekerja dari rumah adalah komponen yang sangat penting untuk menghentikan penularan makro ini,” kata Ketua Pegawai Perubatan Australia, Paul Kelly kepada ABC Radio pada Rabu.

Beliau menjangkakan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital tidak lama lagi akan mencecah paras tertinggi.

Australia mula melonggarkan langkah kesihatan yang ketat berkaitan coronavirus menjelang akhir tahun lalu, sebaik sahaja kebanyakan penduduk divaksin sepenuhnya.

Bagaimanapun, kebolehtransmisian tinggi varian Omicron telah menguji hasrat negara itu untuk ‘hidup dengan virus’. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button