Berita Utama

Lagi kes hina Islam, Polis Terengganu tahan penganggur memaki melalui rakaman audio

Tindakan satu penghinaan dan boleh datangkan ketidakharmonian masyarakat

BANGI, 20 Zulhijjah 1443H, Rabu – Isu menghina agama Islam semakin menjadi-jadi! Terbaharu Polis Terengganu menahan seorang penganggur dipercayai menghina agama Islam serta beberapa individu menerusi rakaman audio yang tersebar, kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, suspek ditahan di rumahnya di Chendering, Kuala Terengganu kira-kira jam 1 pagi tadi.

Hasil siasatan awal mendapati rakaman audio itu dilakukan seorang duda berusia 59 tahun yang dilakukannya tahun lalu namun baru ditularkan.

“Rakaman tersebut adalah ulangan daripada yang telah berlaku tahun lalu dan ditularkan semula oleh individu tertentu.

“Menerusi rakaman audio itu, kita dapat mendengar suara seorang lelaki memaki hamun kepada individu tertentu termasuk agama Islam.

“Tindakan yang dilakukan suspek adalah penghinaan bukan saja kepada agama Islam tetapi boleh mendatangkan ketidakharmonian kepada masyarakat,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Rohaimi menambah, suspek yang turut mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah kini direman selama empat hari bermula hari ini.

“Kita memandang serius isu sebegini dan orang ramai diingatkan supaya tidak menjadikan agama sebagai jenaka kerana boleh menyebabkan perpecahan dan menimbulkan situasi tidak harmoni dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Kes suspek positif dadah jenis methamphetamine itu disiasat mengikut Seksyen 298 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button