Berita UtamaDunia

Lebih 75 peratus umat Islam di New York berdepan isu perkauman

Tinjauan dapati jenayah kebencian berlaku seawal sekolah rendah

NEW YORK, 20 Zulhijjah 1443H, Rabu – Muslim Community Network mendedahkan bahawa antara tahun 2019 dan 2022, 76 peratus umat Islam di bandar raya New York menyaksikan jenayah kebencian dan 49 peratus menjadi mangsa perbuatan tersebut.

Laporan yang membuat tinjauan terhadap 200 orang Islam itu bertujuan bagi menjelaskan lebih banyak cabaran yang mereka hadapi ketika tinggal di bandar raya berkenaan.

Laporan itu mendedahkan bahawa jenayah kebencian boleh berlaku seawal di sekolah rendah.

Daripada 116 orang Islam yang dikaji pada tahun 2019, para penyelidik mendapati bahawa 43.5 peratus daripada responden berusia 10 hingga 18 tahun mengatakan mereka mengalami atau menyaksikan jenayah kebencian.

Jumlah itu meningkat pada separuh pertama 2022 dengan hampir separuh, 49 peratus, mengatakan mereka menjadi mangsa jenayah kebencian, dan 76 peratus mengatakan telah menyaksikan jenayah kebencian.

Tinjauan dari tahun 2022 pula membabitkan 100 orang.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu berharap tinjauan pendapat akan membantu meyakinkan majlis bandar raya bagi memperkenalkan semula dan meluluskan Resolusi 1257, yang akan membolehkan jabatan pendidikan memperkenalkan kursus kepelbagaian agama dalam kurikulum sekolah.

Walaupun saiz sampel kecil, tinjauan Muslim Community Network mengikuti data yang dikeluarkan oleh Jabatan Polis New York (NYPD) tahun lepas, menunjukkan jenayah kebencian pada tahun 2021 terhadap orang Yahudi dan muslim di New York City lebih tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah jenayah kebencian di sana meningkat dua kali ganda pada 2021, dengan 503 dilaporkan jenayah kebencian yang telah disiasat oleh NYPD.

Pada 2020, terdapat 252 kes. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button