Berita Utama

PEMBELA anjur Hari Peradaban Bangsa Melayu 30 Julai ini

Rancang jadikan program tahunan bersama NGO Islam yang lain

BANGI, 20 Zulhijjah 1443H, Rabu – Jika program Buddha-Jepun, Bon Odori dianggap festival kebudayaan ‘penting’ walaupun tidak ada kaitan dengan budaya di Malaysia, maka tiada sebab untuk orang Melayu tidak memeriahkan hari peradaban bangsa sendiri. 

Justeru, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) merancang untuk menganjurkan Hari Peradaban Melayu sebagai program julung kalinya di negara ini.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya bercadang untuk program berkenaan diadakan pada 1 Muharram 1444H iaitu 30 Julai ini.

Rancangan untuk menganjurkan program itu berikutan merujuk keterujaan rata-rata orang Melayu-Islam meraikan festival Bon Odori di Shah Alam, baru-baru ini meskipun penyertaan itu pihak berkuasa agama dan mufti.

“Terkedu hati saya melihat 35,000 orang yang meraikan festival Bon Odori ini yang rata-ratanya adalah orang Melayu Islam kita walaupun para asatizah termasuk pihak berkuasa agama dan mufti melarangnya.

“Lebih menghairankan, ada pemimpin beragama Islam bersungguh-sungguh merayakan dan mempromosikan konon atas semangat kebudayaan, perpaduan dan keharmonian. 

“Padahal ia tidak ada kena mengena dengan mana-mana kaum di Malaysia ini. Apa-apa pun, pelbagai pandangan telah diberikan oleh banyak pihak, terpulanglah kepada rakyat untuk menilainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini ini.

Atas dasar itu, beliau berbincang untuk menganjurkan satu hari bagi meraikan peradaban bangsa Melayu bersama NGO-NGO Melayu Islam lain.

“Sahabat-sahabat dari persatuan silat, seni serta budaya pun teruja untuk menjayakannya bersama-sama. Ya, kita bercadang untuk jadikannya program tahunan.

“Akan ada pameran, gerai jualan, persembahan serta pertunjukan yang sesuai untuk seisi keluarga meluangkan masa bersama,” katanya.

Haji Aminuddin turut memaklumkan, satu sidang media khas akan diadakan petang ini bagi mengumumkan perincian program berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button