Berita Utama

Polis KL lengkapkan kertas siasatan kes penipuan visa haji furada

Babit dua ejen pelancongan melibatkan kerugian lebih RM2 juta

KUALA LUMPUR, 20 Zulhijjah 1443H, Rabu – Polis Kuala Lumpur dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung penipuan visa haji furada oleh dua ejen pelancongan yang beroperasi di Danau Kota, Setapak di sini, membabitkan kerugian lebih RM2 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata sebanyak 47 laporan polis diterima berhubung kes berkenaan dan susulan itu dua lelaki serta tiga wanita warga tempatan berusia 28 hingga 51 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Setelah tempoh reman tamat pada 16 Julai lepas, kesemua individu terbabit diserahkan kepada Polis Kontinjen Johor untuk siasatan berkaitan modus operandi yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk mendapatkan keputusan tindakan lanjut.

Semalam, Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya menerima 121 laporan berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada yang melibatkan kerugian lebih RM5.1 juta di seluruh negara.

Pada 7 Julai lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pelancongan swasta.

Mereka dipercayai menggunakan visa furada, iaitu visa yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button