Dunia

WHO beri amaran gelombang COVID-19 meningkat cepat di Eropah

Peningkatan kes baharu tiga kali ganda sejak 6 minggu lalu

GENEVA, 20 Zulhijjah 1443H, Rabu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di rantau Eropah – yang terdiri daripada 53 negara – memberi amaran bahawa kes COVID-19 meningkat lebih cepat, di tengah-tengah usaha menangani penularan wabak sehingga musim luruh dan musim sejuk.

Ketuanya, Hans Kluge berkata, situasi ini sama berlaku seperti musim panas lalu, namun gelombang berterusan kali ini didorong oleh sub-varian Omicron terutamanya BA.2 dan BA.5.

Katanya, rantau Eropah menyaksikan peningkatan tiga kali ganda kes baharu COVID-19 sejak enam minggu lalu, dengan hampir tiga juta kes baharu dilaporkan minggu lepas yang menyumbang hampir separuh daripada semua kes baharu di seluruh dunia.

Dengan peningkatan kes, Kluge berkata, pihaknya turut menyaksikan pertambahan dalam kemasukan ke hospital, yang dijangka terus meningkat pada musim luruh dan musim sejuk apabila sekolah dibuka semula.

Eropah masih menyaksikan hampir 3,000 kematian akibat COVID-19 setiap minggu, katanya.

Kluge turut mengeluarkan strategi musim luruh dan sejuk daripada WHO untuk COVID-19 serta virus pernafasan lain sebagai persediaan menghadapi gelombang jangkitan akan datang.

Strategi itu memerlukan negara untuk melancarkan semula usaha mitigasi dan bersedia untuk meningkatkan beban pada sistem penjagaan kesihatan mereka.

Ini termasuk meningkatkan pengambilan vaksin dalam populasi umum, memberikan dos penggalak kedua kepada orang yang mengalami gangguan imun serta mempromosikan pemakaian pelitup muka di dalam kawasan tertutup, pengangkutan awam dan tempat sesak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button