Berita UtamaDunia

‘Burnout’ di kalangan jururawat capai tahap tertinggi

Wabak COVID-19 berlarutan, kemasukan ke hospital sekali lagi menandakan keadaan tidak jadi lebih baik

WASHINGTON, 21 Zulhijjah 1443H, Khamis – Walaupun kebanyakan orang sudah meneruskan kehidupan dan beralih daripada ‘fasa COVID-19’, tetapi tidak bagi golongan jururawat.

Apabila varian terbaharu melanda Amerika Syarikat (AS), tekanan mental pada profesion itu telah mencapai tahap tertinggi baharu.

Tinjauan terhadap 2,500 jururawat yang dikeluarkan pada hari Rabu mendapati, bahawa 64 peratus ingin meninggalkan profesion penjagaan kesihatan, peningkatan hampir 40 peratus daripada tinjauan serupa setahun lalu.

Tiga perempat daripada mereka yang ditinjau berkata, mengalami keletihan sejak wabak itu bermula dan separuh lagi berkata mengalami perasaan trauma, tekanan melampau atau PTSD.

“Jururawat kami adalah tulang belakang sistem kesihatan kami, kata Dr Dani Bowie yang merupakan Naib Presiden Strategi Klinikal dan Transformasi di Trusted Health – kumpulan advokasi penjagaan kesihatan yang mengeluarkan tinjauan.  

“Jadi, jika mereka tidak beroperasi dalam keadaan terbaik mereka, ia sangat memudaratkan kesejahteraan komuniti kami dan pesakit kami.”

Pandemik telah memburukkan lagi kekurangan jururawat AS kerana pekerja penjagaan kesihatan tidak diberi layanan setimpal dan bekerja lebih masa menyebabkan mereka berhenti beramai-ramai.  

Separuh daripada jururawat yang ditinjau oleh Trusted Health berkata, mereka telah diserang secara lisan oleh pesakit atau ahli keluarga; hampir satu perempat mengatakan mereka telah diserang secara fizikal.

Biro Perangkaan Buruh AS meramalkan purata tahunan sebanyak 194,500 bukaan untuk jururawat berdaftar hingga 2030. 

Data yang dikeluarkan pada hari Rabu menunjukkan bahawa wabak itu berlarutan dan kemasukan ke hospital sekali lagi menandakan keadaan tidak menjadi lebih baik – hanya lebih teruk.

Pada bulan Mac, Persatuan Hospital Amerika menghantar surat kepada Jabatan Kehakiman untuk menyokong undang-undang bagi mewujudkan perlindungan persekutuan terhadap serangan dan ugutan di kalangan pekerja penjagaan kesihatan.

Satu kajian mendapati 44 peratus pekerja penjagaan kesihatan mengalami gangguan lisan dan fizikal dalam beberapa bulan pertama wabak itu.

Walaupun terdapat peningkatan perhatian dan kesegeraan terhadap keletihan jururawat semasa wabak, hampir semua jururawat yang ditinjau oleh Trusted Health berkata, kesihatan mental mereka bukanlah keutamaan atau terdapat langkah yang tidak mencukupi untuk menyokong mereka.

“Sebagai pengurus, saya benar-benar bergelut untuk memberikan sokongan itu kepada 85 jururawat saya kerana saya tidak tahu apa yang disediakan oleh sistem kesihatan saya dalam hal menjaga kesejahteraan dan kesihatan mental jururawat saya,” kata Bowie, yang bekerja sebagai jururawat hampir sedekad.  

“Saya terperangkap dalam jadual dan terpaksa bekerja sepanjang masa, jadi ia adalah persekitaran yang sangat mencabar,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button