Berita Utama

Kembalikan naratif kedaulatan Melayu ke landasan tepat

'Seperti tiada modal lain, sanggup korban prinsip agama untuk dihormati'

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 21 Zulhijjah 1443H, Khamis – Naratif sebenar kedaulatan Melayu perlu dikembalikan ke landasan betul dan membina premis yang tepat supaya takrifannya dapat diterjemahkan dengan lebih baik.

Pengasas Jurisprudens Watan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain percaya bahawa tindakan segelintir pihak menghina Islam dan Melayu kebelakangan ini berpunca daripada pembentukan naratif tidak tepat terhadap takrifan kedaulatan.

Beliau menjelaskan, naratif itu seolah-olah tidak selari apabila rakyat menerima Raja-Raja Melayu sebagai pemegang amanah daripada Allah SWT, namun pada masa meletakkan juga demokrasi sebagai prinsip kedaulatan negara.

Apatah lagi, katanya, apabila istilah kontrak sosial digunakan dan dipopularkan, walhal ia adalah satu sisi falsafah undang-undang yang meletakkan manusia lebih berkuasa daripada Allah SWT.

“Kontrak sosial ini bukan rundingan sosial, bukan rundingan antara kaum yang kita ciptakan yang lari daripada sejarah.

“Rundingan sosial ini satu pemikiran, satu falsafah yang meletakkan mandat rakyat majoriti sebagai kuasa tertinggi untuk menggubal undang-undang walaupun ia bercanggah hukum syarak, dan inilah yang diasas kepada demokrasi,” katanya dalam temu bual Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.

Dr Wan Ahmad Fauzi yang juga Profesor Madya di Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata, kontrak sosial dan demokrasi tiada di dalam Perlembagaan negara.

Katanya, demokrasi yang diamalkan di negara ini hanyalah beberapa aspek dari sudut Dewan Rakyat, Dewan Negara dan sistem pemilihan terbuka.

“Seperti zaman sahabat berlaku pilihan raya tetapi di kalangan enam sahabat yang terbaik untuk dipilih sebagai khalifah. Ia bukan terbuka, bukan demokrasi mutlak.

“Tetapi kita sendiri yang meletakkan kononnya kita merdeka, terbentuknya Perlembagaan Persekutuan kerana constitutional bargain. Kita menghidupkan fahaman ini, jadi seolahnya kita bergantung pada orang luar yang belum lagi diberi kerakyatan oleh raja kita,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara demikian sebagai mengulas insiden persembahan pelawak di Crackhouse Comedy Club, baru-baru ini yang menghina dan mempersendakan agama Islam.

Memandang serius perkara berkenaan, beliau berkata, segelintir pihak hari ini seolah-olah tiada modal untuk dihormati sehingga sanggup mengorbankan prinsip agama.

“Kita merasakan kita lebih bersifat terbuka kalau menilai atau menerima apa yang bercanggah daripada agama kita. 

“Bukan semua perkara mesti bersifat terbuka, kita boleh menerima nilai-nilai yang bercanggah dengan agama Islam sehingga Islam pun boleh dilawak dan dianggap satu bahan yang boleh dipersendakan,” katanya.

Tonton penuh di sini: 

https://www.facebook.com/tvpertiwi/videos/443927581078052/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button