Berita Utama

Keputusan kemasukan IPTA esok

Hanya pemohon gagal boleh kemuka permohonan rayuan: KPT

BANGI, 21 Zulhijjah 1443H, Khamis – Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke peringkat sijil, asasi dan diploma Sesi Akademik 2022/2023 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan esok.

Keputusan permohonan itu turut membabitkan lanjutan pengajian Politeknik, Kolej Komuniti dan Latihan Kemahiran Awam (ILKA), menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KPT berkata, keputusan boleh disemak secara dalam talian mulai 22 Julai jam 12 tengah hari hingga 31 Julai jam 5 petang di beberapa pautan atau melalui aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar.

“Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak mulai 23 Julai hingga 31 Julai 2022 di laman web Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan ILKA.

“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya mulai 23 Julai 2022 setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, KPT berkata, hanya pemohon yang gagal mendapat tawaran program pengajian sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan UA dan Politeknik di http://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai esok jam 12 tengah hari hingga 31 Julai jam 5 petang.

Sementara, rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.

“Tawaran tempat bagi sesi akademik 2022/2023 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan IPTA/ILKA tidak dibenarkan.

“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button