Berita Utama

Malaysia perlu miliki pusat sembelihan sendiri di luar negara: PEMBELA

Dibangun melalui GLC dan Jakim lantik NGO sebagai rakan kongsi pantau

BANGI, 21 Zulhijjah 1443H, Khamis – Malaysia sewajarnya memiliki pusat penyembelihan sendiri di luar negara bagi mengatasi isu keraguan status halal daging yang diimport.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, inisiatif berkenaan dapat menyelesaikan banyak masalah berbanding melantik pusat penyembelihan negara luar dan memberi pengiktirafan halal melalui badan halal luar negara.

“Dengan memiliki pusat penyembelihan sendiri di luar negara ia bukan sahaja dapat atasi isu keraguan status halal daging tetapi juga diyakini mampu memberi pulangan ekonomi lebih baik kepada negara.

“Pusat penyembelihan itu boleh dibina melalui syarikat milik kerajaan (GLC) di mana-mana negara yang mengeksport daging ke negara ini.

“Jadi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula boleh melantik NGO sebagai rakan kongsi untuk bekerjasama bagi memantau rumah-rumah sembelihan negara luar.

“Jakim dan GLC boleh mengemukakan perkara ini, kalau nak ambil lembu di Australia, kita boleh buka rumah sembelihan kita di negara berkenaan.” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, bagi memastikan status halal daging, sistem ketat perlu diperkenalkan terhadap setiap rumah sembelihan termasuk badan pensijilan halal luar negara yang dilantik.

Malah, katanya, pihak yang bertanggungjawab perlu membuat pemeriksaan secara berkala dan mengejut.

“Mungkin kita juga perlu menyenarai hitam rumah sembelih dan badan halal luar negara yang terlibat supaya perkara sedemikian tidak berulang,” tegasnya.

Mei lalu, Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) tampil membuat pendedahan rumah sembelihan Thomas Food Industries (TFI) di Australia, yang membekalkan daging kambing ke negara ini melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan.

SICHMA, badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan berkata, perkara itu dibuktikan selepas menjalankan audit mengejut di TFI, 28 Mei lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button