Pengasas kelab komedi dituduh di mahkamah esok
Berhubung persembahan komedi berbaur perkauman dilakukannya

BANGI, 21 Zulhijjah 1443H, Khamis – Pengasas dan pemilik bersama sebuah kelab komedi yang terpalit dengan kontorversi baru-baru ini akan dituduh di Mahkamah Khas Siber, esok.
Pertuduhan yang dikenakan berhubung dengan persembahan komedi berbaur perkauman dilakukan lelaki tersebut di sebuah premis.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang pada 14 Julai lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis sehari selepas itu.
“Pertuduhan akan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, di Mahkamah Sesyen Jenayah, (Mahkamah Siber Kuala Lumpur),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 14 Julai lalu, PDRM menahan seorang lelaki disyaki pengasas bersama sebuah kelab komedi berhubung penularan dua klip video di premis berkenaan yang dikatakan menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman.
Suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.