Dunia

Presiden baharu Sri Lanka bakal bentuk kerajaan perpaduan

Tak lebih 30 menteri akan dilantik bantu tangani krisis ekonomi

COLOMBO, 21 Zulhijjah 1443H, Khamis – Ranil Wickremesinghe hari ini mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu Sri Lanka sebelum membentuk sebuah kerajaan perpaduan bersama semua parti.

Wickremesinghe, 73, yang mendapat sokongan anggota Parlimen pada Rabu, mengangkat sumpah jawatannya di hadapan Ketua Hakim Negara, Jayantha Jayasuriya di Kompleks Parlimen, kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

Kelihatan Ketua Polis Sri Lanka dan pegawai tertinggi tentera berdiri di belakang Presiden baharu itu ketika mengangkat sumpah di hadapan Speaker Parlimen, Mahinda Abeywardana.

Majlis ringkas itu sepatutnya disiarkan secara langsung di televisyen tempatan, namun ia tergendala sebelum majlis angkat sumpah berlangsung.

Sumber rasmi berkata, pemimpin baharu itu dijangka membentuk Kabinet tidak melebihi 30 menteri untuk mengemudi negara keluar daripada krisis ekonomi terburuk sejak mencapai kemerdekaan daripada Britain.

Sri Lanka kini berdepan masalah bekalan elektrik berpanjangan dan 22 juta penduduk negara itu mengalami kekurangan bahan api, makanan serta ubat-ubatan selama berbulan-bulan.

Kemarahan rakyat terhadap krisis itu memuncak apabila puluhan ribu penunjuk perasaan menyerbu kediaman bekas Presiden Gotabaya Rajapaksa, sehingga memaksanya berundur dan membuka jalan kepada pemilihan Wickremesinghe.

Weckremesinghe memenangi 134 undi daripada 225 anggota Parlimen pada proses pemilihan semalam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button