Berita Utama

SKSSR adalah sukarela, suami tak wajib bayar caruman isteri: Perkeso

Suami wajib bayar caruman jika pilih untuk berbuat demikian

KUALA LUMPUR, 21 Zulhijjah 1443H, Khamis – Cadangan pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dalam Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 adalah secara sukarela kepada semua suri rumah di Malaysia dan para suami tidak wajib mencarum untuk isteri mereka.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataan memaklumkan menerusi draf rang undang-undang yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan di Dewan Rakyat semalam, ia menyatakan bahawa suami hanya wajib membayar caruman untuk isterinya jika memilih untuk berbuat demikian dan perlu memaklumkan kepada Perkeso.

“Dalam situasi ini, ia boleh menjadi suatu kesalahan kepada suami jika gagal membayar caruman berkenaan. Sabit kesalahan, suami boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagaimanapun, jika pasangan tersebut telah bercerai atau suami terbabit tidak mampu membayar caruman isterinya akibat hilang punca pendapatan atau seumpamanya, maka komitmen beliau untuk membayar caruman adalah terbatal,” menurut kenyataan itu.

Perkeso juga menjelaskan isteri atau suri rumah tersebut boleh membayar caruman SKSSR secara sukarela atau bayaran caruman tersebut juga boleh dibuat oleh mana-mana pihak ketiga.

Bagi suami yang tidak memilih untuk membayar caruman SKSSR untuk isteri atau suri rumah yang tidak mempunyai suami, caruman berkenaan boleh dibayar sendiri oleh wanita tersebut atau pihak ketiga kepada Perkeso.

Sehubungan itu, kenyataan tersebut memaklumkan laporan berita yang diterbitkan oleh beberapa media tempatan termasuk menerusi platform dalam talian mengenai kegagalan suami membayar caruman Perkeso isteri yang juga suri rumah boleh dikenakan denda atau hukuman penjara adalah tidak tepat.

Memandangkan laporan berita tersebut tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai, Perkeso menggesa media yang berkenaan untuk mengambil tindakan segera dengan menyiarkan ralat berhubung laporan yang telah diterbitkan.

Semalam, Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 yang bertujuan mengadakan peruntukan bagi keselamatan sosial kepada suri rumah berinsurans dalam bentuk faedah tertentu, meningkatkan kesihatan, keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan suri rumah, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Menurut rang undang-undang itu, satu skim akan diwujudkan bagi tujuan berkenaan yang dikenali sebagai SKSSR selain menyebut suri rumah yang mencarum dalam skim itu berhak mendapat faedah hilang upaya seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal elaun layanan sentiasa, pencen penakat dan faedah pengurusan mayat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button