Uncategorized

Turki mahu perjanjian eksport bijirin bersama Ukraine dibuat bertulis

Persetujuan perlu dicapai 4 pihak - Russia, Ukraine, Turki dan PBB

ANKARA, 21 Zulhijjah 1443H, Khamis – Turki mahu perjanjian untuk menyambung semula eksport bijirin di Laut Hitam Ukraine dicapai menerusi rundingan empat hala, dalam masa terdekat.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, persetujuan umum perlu dicapai antara Ukraine, Russia, Turki dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung rancangan berkenaan yang dibuat secara bertulis dalam minggu ini.

“Perjanjian berkenaan diwujudkan dalam rundingan di Istanbul minggu lepas yang ditetapkan di bawah perancangan PBB.

“Jadi sekarang kami mahu menetapkan perjanjian tersebut menerusi dokumen dan bertulis,” kata Erdogan yang tiba dari Tehran selepas mengadakan pertemuan dengan President Russia, Vladimir Putin.

Beliau dalam masa sama menaruh harapan besar supaya perancangan di bawah PBB dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Isnin lalu, Ankara berkata perbincangan bersama empat pihak berkenaan sepatutnya diadakan dalam minggu ini.

Krisis Russia-Ukraine telah menyebabkan harga beberapa barangan melibatkan bijirin, minyak masak, gas dan baja melambung tinggi sekali gus mewujudkan krisis makanan yang serius di peringkat antarabangsa.

Serangan pada 24 Februari lalu oleh Russia ke atas Ukraine juga menyebabkan sekatan di pelabuhan selain menghentikan aktiviti eksport.

Malah, lebih 20 juta tan bijirin terkandas dalam silo di Pelabuhan Laut Hitam Odesa.

Russia bagaimanapun menafikan untuk bertanggungjawab ke atas kesan krisis makanan sebaliknya menyalahkan sekatan Barat yang memperlahankan eksport makanan. – Agensi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button