Dunia

WHO kumpul pakar bincang situasi terkini kes cacar monyet

Mesyuarat kedua mungkin isytihar wabak di bawah PHEIC

GENEVA, 21 Zulhijjah 1443H, Khamis – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan mengumpulkan semula jawatankuasa pakar cacar monyet untuk memutuskan sama ada wabak itu kini diisytiharkan sebagai darurat kesihatan global.

Mesyuarat kedua jawatankuasa kecemasan WHO mengenai virus itu akan diadakan untuk meneliti bukti situasi semasa jangkitan yang semakin teruk, dengan hampir 14,000 kes dilaporkan dari lebih 70 negara.

Lonjakan jangkitan cacar monyet telah dilaporkan sejak awal Mei di negara Barat dan Afrika Tengah – di mana wabak itu telah lama menjadi endemik.

Pada 23 Jun lalu, WHO telah menubuhkan jawatankuasa kecemasan pakar untuk memutuskan sama ada cacar monyet boleh diisytihar dalam Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) – tahap tertinggi bagi agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, majoriti anggota menasihat Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus bahawa situasi ketika itu belum mencapai tahap darurat.

Kini mesyuarat kedua akan diadakan dengan bilangan kes meningkat dan penularan meluas ke enam lagi negara lain pada minggu lalu.

Jika jawatankuasa menasihat Tedros untuk mengisytihar wabak itu sebagai PHEIC, cadangan sementara mengenai langkah pencegahan dan mengawal penularan akan dibuat bagi mengurus tindak balas kesihatan awam global. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button