Berita UtamaDunia

Israel tak mampu tutup kekalahannya pada 7 Oktober dengan pembohongan: Hamas

Kerugian rejim pendudukan Israel lebih besar daripada apa yang diumumkan

BEIRUT, 23 Rabiulakhir 1445H, Selasa –  Rejim haram Israel mengalami kekalahan teruk pada 7 Oktober, sehinggakan entiti pendudukan itu tidak mampu menutupi kegagalannya dengan pembohongan.

Pemimpin Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Osama Hamdan berkata demikian dalam sidang akhbar di ibu negara Lubnan, Beirut pada hari ke-31 Operasi Taufan al-Aqsa, operasi ketenteraan terbesar terhadap rejim Israel dalam beberapa dekad.

“Kegagalan yang dialami musuh pada 7 Oktober dan masih dideritai di medan perang tidak boleh ditutup dengan pembohongan. 

“Kerugian pasukan pendudukan (Israel) jauh lebih besar daripada apa yang diumumkan, dan ini adalah punca pengeboman jenayah yang tidak pernah berlaku sebelum ini (di Gaza),” katanya. 

Osama menegaskan, Hamas berikrar untuk menjadikan tanah perkuburan bagi pasukan pendudukan jika mereka terus menyerang penduduk Gaza. 

“Gaza akan sentiasa kekal sebagai tanah perkuburan bagi mereka yang zalim, yakinlah kami memperoleh kemenangan pada 7 Oktober,” kata Hamdan, sambil menambah bahawa Briged al-Qassam, sayap tentera Hamas, bertempur di semua bahagian. 

Ketika sidang akhbar di Beirut, Hamdan menafikan dan menjawab isu pembohongan rejim Zionis yang disebarkan kononnya Hamas telah menggunakan Hospital Indonesia untuk melancarkan serangan. 

“Pintu masuk ke terowong yang didakwa berhampiran hospital Indonesia adalah lubang bekalan bahan api, dan rakaman audio yang dituduh anggota kami adalah panggilan palsu yang direka oleh rejim Zionis.

“Bahkan, dakwaan hospital digunakan sebagai pad pelancar peluru berpandu tidak boleh dipercayai langsung,” kata pemimpin Hamas itu.

Justeru, Hamdan menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melawat hospital di Gaza untuk mengesahkan ‘pembohongan pendudukan.’

Israel menyasarkan sebuah hospital kanak-kanak di Gaza pada hari Isnin ketika pencerobohan rejim di Semenanjung Gaza yang dikepung.

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza hari ini mengesahkan jumlah kematian akibat pengeboman berterusan Israel di kawasan pantai berjumlah 10,022 orang, termasuk 4,104 kanak-kanak dan 2,641 wanita. 

Kementerian juga berkata, jumlah mereka yang cedera sejak 7 Oktober telah meningkat kepada 25,408 orang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button