Dinesh Gunawardena angkat sumpah PM baharu Sri Lanka
Dilantik beberapa jam selepas pasukan keselamatan serbu kem protes

COLOMBO, 22 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Ahli Parlimen Sri Lanka, Dinesh Gunawardena mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu pada Jumaat, sehari selepas Presiden baharu mengangkat sumpah ketika negara berdekatan Lautan Hindi itu bergelut dengan ekonomi terburuknya.
Ia berlaku hanya beberapa jam selepas pasukan keselamatan menyerbu kem protes di kawasan kerajaan di bandar utama Colombo dan membersihkan sebahagian daripadanya, dengan sekurang-kurangnya sembilan tangkapan, ketika pentadbiran baharu bergerak membanteras penunjuk perasaan.
Gunawardena mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe.
Kabinet dijangka mengangkat sumpah pada Jumaat.
Krisis Sri Lanka, akibat salah urus ekonomi dan konflik di Ukraine, mencetuskan protes besar-besaran selama berbulan-bulan dan akhirnya memaksa Presiden ketika itu Gotabaya Rajapaksa meninggalkan negara berkenaan.
Wickremesinghe mengisytiharkan keadaan darurat ketika mendapatkan ‘bail out’ daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). – Agensi