Berita Utama

Haram sembunyikan kejahatan, jadi pelindung penjenayah

'Tak mahu jaga tepi kain orang' tak sesuai guna untuk hal mungkar

BANGI, 22 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Khutbah Jumaat menegaskan haram hukumnya perbuatan menutup atau menyembunyikan kejahatan yang boleh memudaratkan kesejahteraan.

Justeru, khutbah bimbang terdapat segelintir individu yang sanggup bersekongkol dalam menyembunyikan kejahatan, malah menjadi pelindung kepada pelaku jenayah.

Atas dasar tanggungjawab, khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengajak umat Islam bersama-sama mengubah kemungkaran yang berlaku di depan mata dengan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

“Ungkapan ‘tidak mahu menjaga tepi kain orang’ mungkin tidak sesuai untuk hal yang melibatkan kemungkaran dan kemaksiatan.

“Kaedah mengubah kemungkaran melalui lisan ialah kita tidak bersubahat mahupun berdiam diri dengan menyembunyikan kejahatan yang berlaku di sekeliling kita sehingga mampu mendatangkan kerosakan dan menggugat keharmonian masyarakat,” katanya.

Menurut khutbah, sesuatu perkara yang bertentangan dengan agama dan undang-undang perlu ditegah supaya dapat memelihara umat Islam daripada terjerumus ke dalam kerosakan serta kebinasaan.

Oleh itu, tanggungjawab mencegah kemungkaran adalah tuntutan ke atas umat Islam sama ada tegahan menerusi kuasa yang diberikan melalui tugas selaku pemerintah atau tanggungjawab sebagai orang awam.

“Dalam konteks undang-undang kesalahan jenayah Syariah, pegawai penguatkuasa agama di negeri-negeri berperanan memelihara kesucian agama Islam daripada dicemari dan sentiasa bersedia serta komited menggalas tanggungjawab seperti mana yang telah diamanahkan dengan penuh kejujuran agar kemungkatan dan kemaksiatan dapat dibendung.

“Namun begitu, bagi orang awam yang tidak mempunyai autoriti mencegah sesuatu kemungkaran, maka Rasulullah menyuruh untuk mengubah kemungkaran itu dengan lisan iaitu dengan cara memberi nasihat atau teguran yang berhikmah supaya kejahatan itu boleh dihalang serta tidak memberi kesan buruk kepada si pelaku dan juga masyarakat umum,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button