Berita Utama

Harga minyak masak botol mulai turun 13 peratus

Menteri mahu penyusutan harga beri kesan langsung di peringkat peruncit

KUALA LUMPUR, 22 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Harga minyak masak botol kini mulai turun dengan pengurangan sebanyak 13 peratus, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, minyak masak botol lima kilogram (kg) mula dijual di peringkat peruncit pada harga RM39 berbanding RM45 bulan lalu.

Katanya, harga itu ditemui ketika sesi turun padang ke premis pemborong di Sibu, Sarawak, hari ini.

“Pengurangan harga sebanyak 13 peratus itu adalah sebagai permulaan, memandangkan unjuran pasaran menunjukkan pola penyusutan harga berikutan kesan minyak masak mentah (CPO) akan terus berlaku.

“Mengikut simulasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini, kadar CPO semasa (RM3,814.50) sepatutnya menyebabkan harga minyak masak botol lima kilogram dipasarkan di peringkat peruncit sekitar RM30.65.

“Bagaimanapun, kesan langsung daripada pola penurunan harga CPO dilihat berlaku amat perlahan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook miliknya.

Alexander berkata, penyusutan harga itu susulan penurunan harga minyak masak mentah di pasaran sehingga mencecah paras RM3,814 kelmarin.

Katanya, kali terakhir paras rendah sedemikian direkodkan adalah pada Julai 2021, manakala kadar tertinggi menjangkau RM8,076 yang dicatatkan pada Mac tahun ini.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi memberi penegasan kepada industri supaya sebarang penyusutan harga CPO wajar memberi kesan langsung kepada harga minyak masak botol di peringkat peruncit.

“Jangan ada pihak yang cuba melengahkan perubahan harga mengikut CPO ini, dengan alasan kerana mahu menghabiskan stok bekalan lama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button