Berita UtamaDunia

Israel bina 22,030 unit penempatan haram pada 2021

Hubungan penduduk Baitulmaqdis Timur dari kawasan bandar utama Tebing Barat dibimbangi terputus

BAITULMAQDIS, 22 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Pihak berkuasa negara pengganas Israel membina sejumlah 22,030 unit penempatan haram pada 2021, kata Kesatuan Eropah (EU).

“14,894 unit penempatan dibina di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, dan 7,136 yang lain dibina di bahagian lain Tebing Barat termasuk lokasi jauh di Tebing Barat,” kata EU dalam laporan bertajuk ‘Laporan 2021 mengenai penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.’

Berbanding tahun sebelumnya, 2021 mencatatkan peningkatan unit penempatan lebih tinggi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur (22,030), menguatkuasakan trend pengembangan penempatan yang terus meningkat di wilayah Palestin diduduki.

Laporan itu menyatakan, pembinaan telah berlaku di tiga penempatan termasuk E1, Atarot dan Lower Aqueduct.

Pelan penempatan E1 terletak di Kawasan C Tebing Barat diduduki, yang berada di bawah kawalan ketenteraan dan pentadbiran Israel, dan apa dipanggil sebagai Rancangan Saluran Air Bawah.  

“Jika dibina, rancangan ini akan menyediakan lebih daripada 14,000 unit perumahan tambahan di dalam dan sekitar Baitulmaqdis Timur yang diduduki,” kata kesatuan itu memberi amaran.

Laporan itu menyatakan bahawa projek Atarot terdiri daripada sejumlah 9,000 unit penempatan haram, sambil menambah bahawa Pelan Saluran Air Bawah terdiri daripada 1,465 unit.

EU memberi amaran bahawa pengembangan penempatan akan memutuskan hubungan penduduk Baitulmaqdis Timur dari kawasan bandar utama Tebing Barat, seperti Hebron dan Ramallah, sambil menambah bahawa ia juga akan mempunyai implikasi serius terhadap kesinambungan bandar Palestin dan menimbulkan ancaman serius kepada penyelesaian dua negara.

Kesatuan itu menyeru pihak berkuasa Israel untuk menamatkan semua aktiviti penempatan, dan untuk merobohkan kubu-kubu yang didirikan sejak Mac 2001.

“EU kekal dengan pendirian tegas bahawa penempatan itu adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa,” tegasnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button