Berita Utama

Lucut kerakyatan penghina Islam

Umat Islam tak boleh berdiam diri terhadap tindakan persenda agama

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 22 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Kerajaan tidak boleh berkompromi terhadap mana-mana tindakan yang mencabar identiti kedaulatan negara yang berpaksikan agama Islam dan bangsa Melayu serta sistem Raja berperlembagaan.

Justeru, mana-mana tindakan yang mencabar identiti kenegaraan ini, haruslah dikenakan tindakan tegas seperti dilucut kerakyatan kerana melanggar Rukun Negara, kata Pengarah Sekretariat Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa.

“Baru-baru ini tular beberapa kes penghinaan agama yang mendapat perhatian rakyat.

“Walaupun ada sebahagian telah diambil tindakan, namun ada pula pihak yang membela suspek yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu penghinaan agama Islam oleh segelintir pihak biadab tanpa mengambil peduli hati dan perasaan umat Islam.

Dalam pada itu, Ustaz Syamil menegaskan bahawa umat Islam tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana tindakan yang mempermainkan dan mempersenda agama.

Ini kerana tindakan itu tidak ubah seperti satu bentuk ‘pemberontakan secara halus’ yang sewajarnya dibanteras bagi menjamin keutuhan negara dan keharmonian masyarakat.

“Tindakan sebegini hakikatnya sedang menjentik sensitiviti umat Islam dalam mempertahankan agama mereka, dan seolah-olah satu kerja yang dirancang bagi melihat sejauh mana umat Islam masih berasa ‘ghairah’ terhadap maruah agama mereka, yang dipermainkan di tanah air mereka sendiri,” katanya.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan tindakan Siti Nuramira Abdullah yang menghina Islam ketika membuat persembahan di Restoran Crack House Comedy Club, 24 Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Brickfields.

Tidak lama selepas itu, seorang penghantar makanan ditahan kerana membuat serta memulakan penghantaran komunikasi jelik menghina umat dan agama Islam serta Rasulullah ﷺ menerusi YouTube.

Di Kelantan, polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun kerana memuat naik video penghinaan melalui laman Facebook dengan nama samaran yang jelas menghina agama Islam dan Nabi Muhammad.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button