Berita Utama

MP mesti sebulat suara sokong RUU kawalan tembakau, rokok

Vape penyebab kecederaan paru-paru yang serius

BANGI, 22 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Ahli Parlimen perlu membuat keputusan yang tepat terhadap rang undang-undang (RUU) kawalan tembakau dan rokok, yang akan dibentang masa terdekat sebagaimana RUU Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) diluluskan dua hari lepas.

Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, Ahli-ahli Parlimen wajib meletakkan prinsip ‘health is wealth’ bermula dari generasi anak-anak.

Katanya, terlalu sedikit manfaat keuntungan cukai jualan rokok mahu dibandingkan dengan kesihatan generasi masa depan.

“RUU Kawalan Tembakau akan dibentangkan tidak lama lagi di mana antara matlamat penting ialah melahirkan Generasi Penamat atau Generation End Game (GEG), iaitu mereka yang lahir selepas tahun 2005 dilarang sama sekali membeli atau memiliki rokok dan vape. Kita mula dengan anak-anak.

“Sekarang pun, guru-guru telah mengeluh kerana ramai murid mula menggunakan vape atau rokok elektronik tanpa rasa bersalah,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Mengulas lanjut, Prof Rafidah mengingatkan bahawa vape menyebabkan Evali atau kecederaan paru-paru yang serius.

Bahkan gejalanya terhadap remaja sangat membimbangkan.

“Paru-paru kita adalah ‘end-organ’, sama seperti jantung, buah pinggang. Jika ia gagal berfungsi, tiada pengganti. Hanya bergantung kepada mesin dan menunggu paru-paru implant dari penderma,” katanya yang turut meminta semua pihak mengambil iktibar terhadap gejala COVID-19.

“COVID-19 seharusnya mengajar kita untuk sayangkan paru-paru dan kesihatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button