Berita Utama

PAS secara dasar setuju guna logo baharu PN

PAS, Bersatu, MN sentiasa adakan perbincangan hadapi PRU15

MARANG, 22 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Penggunaan logo baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara dasarnya dipersetujui PAS, kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang. 

Beliau berkata, penggunaan logo baharu Perikatan Nasional (PN) akan dibincangkan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam masa terdekat.

Pada masa sama, katanya, pemimpin tertinggi PAS juga akan mengadakan mesyuarat berhubung penggunaan logo baharu itu.

“Kita akan bincang bersama Bersatu dalam masa terdekat,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, hari ini. 

Bagaimanapun, Abdul Hadi menjelaskan, persetujuan PAS menggunakan logo baharu PN selepas ini tidak bermakna parti itu menolak Muafakat Nasional (MN).

“MN terus (jalin hubungan), PAS membawa agenda perpaduan ummah, (PAS) tidak berganjak.

“Masalah logo itu (sekiranya MN bersama PN) dibincangkan kemudian, PAS bersama semua sekali MN dan PN,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang tersebut berkata, PAS dan Bersatu serta MN sentiasa mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bagi persediaan menghadapi PRU15.

“Persediaan (PRU15) sentiasa dibincangkan walaupun pilihan raya tidak tahu bila lagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button