Berita Utama

Pemilik premis di Kelantan ditahan sembunyi minyak masak subsidi

1,207 peket disembunyikan daripada dijual kepada pelanggan

KOTA BHARU, 22 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menahan pemilik sebuah premis di Pasir Tumboh selepas dipercayai menyembunyikan minyak masak bersubsidi.

Hasil serbuan mendapati sebanyak 71 kotak yang mengandungi 1,207 peket minyak masak bersubsidi disembunyikan daripada dijual kepada pelanggan.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu terbongkar selepas dua pegawai KPDNHEP menyamar untuk membeli minyak masak peket, namun premis yang dilesenkan untuk menjual minyak masak subsidi itu enggan menjualnya.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, susulan daripada penyamaran itu, pihaknya bersama Batalion 7 Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Tok Bali terus menjalankan serbuan di premis itu pada jam 12.45 tengah hari.

Beliau berkata, pemeriksaan telah menemui sebanyak 1,207 peket minyak masak yang dianggarkan bernilai RM3,017.50 dipercayai disembunyikan oleh pemilik premis itu.

“Pemilik premis yang berusia 46 tahun itu juga gagal mengemukakan segala dokumen barang tersebut termasuk punca bekalan diperoleh, resit belian dan maklumat mengenai minyak masak peket.

“Lelaki itu juga mengaku kesemua minyak masak peket itu telah berada di premisnya sejak tiga hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Daripada serbuan ini, pemilik premis akan disiasat dengan disyaki iaitu menyorok barang kawalan atau memusnahkannya, enggan menjual barang kawalan dan gagal menyelenggara buku stok dan disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 16(1)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 13 Peraturan Kawalan Bekalan 1974. 

“Pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan dan tindakan tegas ke atas mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang akan dikenakan serta dipertuduhkan di mahkamah.

“Kerjasama antara agensi penguatkuasaan dalam membanteras ketirisan barang kawalan sentiasa dijalankan dari masa ke semasa bagi memastikan barang kawalan mencukupi dalam pasaran dan dinikmati pengguna,” katanya.

KPDNHEP menegaskan, akan bertindak tegas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan subsidi barang kawalan.

Tegasnya, ia demi kepentingan rakyat dan orang awam diingatkan untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan di saluran rasmi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button