Berita Utama

Pengasas kelab komedi mengaku tak bersalah dakwaan hantar komunikasi jelik

OKS diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan

KUALA LUMPUR, 22 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Seorang pemilik kelab komedi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum dalam aplikasi Facebook, Instagram dan TikTok.

Bagaimanapun, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, 39, yang memakai kemeja berwarna putih dan berseluar biru muda, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

Ketiga-tiga hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di sini, pada 1.17 tengah hari, 13 Julai lepas.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman berkata pihaknya menawarkan RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan ke atas OKS sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, memandangkan kes berkenaan menyentuh sensitiviti perkauman.

“Pihak kami juga memohon syarat tambahan iaitu OKS perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak boleh komen serta membuat sebarang hantaran di mana-mana media sosial sepanjang kes ini berjalan,” katanya.

Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Mohamad Rizal memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan kerana anak guamnya perlu menyara tiga anak yang seorang daripadanya mengalami disleksia selain bapanya yang berumur 74 tahun menghidap penyakit kanser.

“Anak guam saya juga telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang siasatan dan tiada sebab untuknya melarikan diri. Jadi dalam keadaan ini, saya memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan OKS diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain OKS perlu menyerahkan pasport di mahkamah serta tidak membuat hantaran atau komen di mana-mana media sosial berkenaan kes itu selain menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Lelaki berkenaan membayar jaminan itu.

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki itu ditahan di sekitar Lembah Klang oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas kerana disyaki menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman semasa membuat persembahan di sebuah kelab komedi di ibu kota, di sini, seperti tular melalui dua klip video. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button