Berita Utama

Polisi ekonomi populis bawa malapetaka kepada negara

Perubahan dasar tanpa kajian jerumuskan negara ke situasi buruk

BANGI, 22 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Setiap dasar dan polisi ekonomi populis semata-mata mahu mencapai keuntungan politik harus diketepikan.

Ini kerana langkah itu akan membawa malapetaka kepada negara dalam jangka panjang seperti yang berlaku di Sri Lanka.

Dr Ahmad Shahir Abdul Aziz berkata, pengenalan atau perubahan sesuatu dasar tanpa kajian mendalam dan keghairahan mengemukakan polisi populis sebenarnya perlu dijadikan ‘red flag’ kepada kerajaan kerana boleh menjerumuskan negara ke dalam situasi buruk, bahkan berkemungkinan menjadi ‘negara gagal’.

Mengambil contoh Sri Lanka, Pengurus Kanan Penggalakan Pelaburan Perak Investment Management Centre (InvestPerak) itu berkata, dahulunya makmur kini dirundung malang kerana kegagalan Colombo membayar hutang luar negara AS$51 bilion (RM215.7 bilion), sekali gus memberi isyarat negara Asia Selatan itu jatuh muflis.

Katanya, dalam ekonomi negara, konsep pinjaman dan ‘berhutang’ adalah perkara biasa untuk membolehkan kerajaan mempunyai sumber menampung perbelanjaan pembangunan, akhirnya hasil projek pembangunan diyakini mampu memberikan kesan berganda, sekali gus pulangan semula kepada negara.

Namun, konsep ini jika tidak diurus baik, bakal membawa malapetaka kepada negara seperti Sri Lanka yang sebelum ini berjaya melunaskan hutang secara terkawal sejak merdeka pada 1948.

“Namun, krisis memuncak apabila kepemimpinan negara mengambil tindakan salah sehingga memburukkan lagi keadaan.

“Antaranya mengenakan larangan import meluas bagi mengatasi masalah rizab mata wang asing semakin berkurangan menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan bahan api, akhirnya menimbulkan kemarahan rakyat,” katanya menulis di Berita Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam konteks Malaysia, walaupun kadar hutang negara masih terkawal berbanding Sri Lanka, tindakan berhati-hati perlu diambil agar tidak melakukan kesilapan.

Sebagai rekod, jumlah hutang negara pada akhir Disember tahun lalu adalah RM979.8 bilion bersamaan 63.4 peratus daripada nilai Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Unjuran hutang Sri Lanka meningkat 94 peratus daripada nilai KDNK pada 2019 kepada 119 peratus tahun lalu seperti didedah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Justeru katanya, pelaksanaan dasar ekonomi rasional perlu dilaksanakan bagi mengimbangi antara memenuhi kehendak rakyat dengan meningkatkan pendapatan negara.

“Pelaksanaan dasar ini juga tentu memerlukan karakter kepemimpinan kuat dan bertanggungjawab serta berkeupayaan meyakinkan semua pihak mengenai kebaikannya kepada rakyat dan negara jika dilaksanakan.

“Antaranya, pelaksanaan subsidi petrol bersasar bagi memastikannya dinikmati golongan rentan dan mereka benar-benar memerlukan bantuan.

“Di samping itu, inisiatif ini juga dapat mengurangkan beban fiskal kerajaan, mengatasi masalah ketirisan serta hasil penjimatan perbelanjaan kerajaan dapat diagihkan semula untuk program lebih berkesan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pautan artikel;
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2022/07/978383/gopoh-ubah-dasar-jejaskan-ekonomi-negara

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button