Berita UtamaDunia

Rejim Israel terus mengganas serang Syria

3 askar maut, tujuh cedera akibat serangan udara dari Bukit Golan

KAHERAH, 22 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Serangan rejim haram Israel ke atas ibu negara Syria, Damsyik mengorbankan tiga askar dan mencederakan tujuh yang lain.

Israel dilaporkan melakukan serangan udara dari arah Bukit Golan.

Letupan kuat kedengaran di Damsyik akibat serangan itu.

“Musuh Zionis melakukan serangan udara… dari arah Golan Syria yang diduduki. Pencerobohan itu membunuh tiga askar dan mencederakan tujuh yang lain,” kata Kementerian Pertahanan Syria dalam satu kenyataan.

Menurut pemantau perang Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), pasukan pertahanan udara Syria telah dikerahkan untuk membalas serangan berkenaan.

Bulan lalu, Israel melakukan serangan peluru berpandu di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik yang merosakkan landasannya.

Akibat serangan itu, landasan tetap tidak beroperasi selama berminggu-minggu.

Agensi Berita Arab Syria (SANA) melaporkan serangan berkenaan dilakukan dari wilayah Golan yang diduduki Israel.

Perang saudara Syria meletus pada 2011.

Pergolakan bermula di Syria terhadap Presiden Bashar al-Assad pada 15 Mac 2011.

Sejak meletusnya perang saudara di Syria, Israel melakukan ratusan serangan udara yang menyasarkan tentera kerajaan Syria juga Iran – pasukan sokongan dan kumpulan Hizbullah.

Ini kerana negara pengganas itu mahu menghalang musuh ketatnya, Iran daripada bertapak di Syria. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button