Dunia

Shinzo Abe dikebumi dalam istiadat khas negara 27 September

Dijangka dihadiri kenamaan asing, wakil dari negara diplomatik

TOKYO, 22 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Jepun menetapkan Istiadat Pengebumian Negara untuk bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe pada 27 September ini, yang dijangka turut membabitkan kehadiran pemimpin asing.

Kerajaan mengumumkan istiadat pengebumian mendiang akan diadakan di Nippon Budokan di Tokyo – sebuah tempat penganjuran konsert dan acara sukan – yang pernah digunakan untuk istiadat pengebumian negara bekas perdana menterinya pada 1967.

Jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno berkata, rekod mendiang Abe sebagai perdana menteri Jepun paling lama, selain pencapaian serta hubungannya dengan pemimpin asing melayakkan dia dikebumi mengikut istiadat negara.

“Kita juga akan menerima kenamaan asing dan negara yang mempunyai hubungan diplomatik dan kami akan dimaklumkan mengenai butirannya,” katanya.

Istiadat pada September ini akan menjadi pengebumian negara kedua untuk bekas perdana menteri di Jepun selepas perang, iaitu kali pertama adalah Shigeru Yoshida.

Matsuno berkata, istiadat itu akan berlangsung ringkas dan suram, namun kos pelaksanaan masih dikaji.

Mendiang Abe telah ditembak mati ketika menyampai ucapan dalam kempen politik di wilayah Nara pada 8 Julai lalu.

Suspek dikenali sebagai Tetsuya Yamagami – dipercayai bekas anggota pasukan tentera maritim Jepun – mengaku berdendam dengan sebuah organisasi tertentu dan percaya Abe adalah anggota pertubuhan itu.

Lelaki berusia 41 tahun itu melepaskan tiga das tembakan ke arah Abe ketika mendiang berucap di atas pentas menggunakan senjata buatan sendiri.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button