Berita UtamaDunia

Turki umum perjanjian eksport bijirin antara Russia, Ukraine

Perjanjian baharu buka jalan tamatkan sekatan berbulan-bulan

ANKARA, 22 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Ukraine dan Russia bersetuju untuk mengeksport jutaan tan bijirin yang terkandas dari Laut Hitam, kata Turki.

Perjanjian itu akan membuka jalan untuk menamatkan sekatan selama berbulan-bulan Russia di pelabuhan Laut Hitam Ukraine, membenarkan anggaran 22 juta tan gandum, jagung dan bijirin lain diangkut ke seluruh dunia.

Perunding kedua-dua pihak akan bertemu di Istanbul pada hari ini bagi menandatangani perjanjian itu, dalam mesyuarat yang dihadiri Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang memainkan peranan penting dalam perundingan perjanjian itu.

PBB dan Turki telah bekerja selama dua bulan menjadi perantara perjanjian mengenai bijirin yang disekat.

Sebelum rundingan minggu lalu di Istanbul, para diplomat berkata, butiran rancangan itu termasuk kapal Ukraine yang membimbing kapal bijirin masuk dan keluar melalui perairan pelabuhan yang dilombong manakala Turki – disokong oleh PBB – akan memeriksa kapal untuk meredakan kebimbangan Russia terhadap penyeludupan senjata.

Sementara itu, Russia akan bersetuju dengan gencatan senjata sementara penghantaran bergerak.

Jurucakap dan Penasihat kepada Presiden Turki, Ibrahim Kalin berkata, pemeteraian itu akan menjadi kritikal untuk keselamatan bijirin global.

Perjanjian antara kedua-dua negara, berlatarbelakangkan pencerobohan Russia ke atas Ukraine yang bermula pada Februari, telah mengelak kebimbangan krisis makanan di seluruh dunia.

Ukraine dan Russia adalah pengeksport penting gandum dan bijirin serta bersama-sama menyediakan kira-kira 30 peratus daripada bekalan global.

Bagaimanapun, pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan sekatan barat seterusnya ke atas Moscow telah mengganggu penghantaran, mencetuskan krisis makanan global.

Amerika Syarikat (AS) mengalu-alukan perjanjian itu pun begitu terus menyalahkan Moscow kerana bertanggungjawab mewujudkan krisis makanan.

Moscow menafikan bertanggungjawab, sebaliknya menyalahkan krisis makanan atas kesan dingin daripada sekatan barat kerana memperlahankan eksport makanan dan bajanya sendiri dan Ukraine kerana melombong pelabuhan Laut Hitamnya.

Sehari selepas rundingan Istanbul minggu lalu, Washington juga memberi jaminan kepada bank, syarikat perkapalan dan insurans bahawa transaksi untuk memudahkan eksport makanan dan baja Russia tidak akan melanggar sekatan Washington ke atas Moscow atas pencerobohannya ke atas Ukraine. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button