Berita Utama

Ahli PAS diingat jaga adab terhadap pemimpin: Tuan Ibrahim

Bimbang dengan suasana ukhuwah dalam parti ketika ini

KUALA LUMPUR, 23 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menasihati ahli parti supaya belajar menghormati pimpinan serta pandangan yang berbeza.

Beliau menyatakan kebimbangannya terhadap suasana ukhuwah atau persaudaraan dalam parti itu, terutama dari segi menghormati pimpinan dan sahabat seperjuangan.

Beliau berkata, terdapat ahli PAS yang kadangkala membuat kenyataan disifatkan sebagai tiada adab dan hikmah terhadap pemimpin parti.

“Kadangkala, sehingga kita rasa seolah-olah pimpinan kita tidak mengetahui apa yang kita ketahui, bahkan ada yang menegur pimpinan mengenai bahaya musuh seolah-olah pimpinan tidak mengenali musuh.

“Ukhuwah dalam jemaah akan lahir bila mana kamu rasa hormat pada pimpinan dan sahabat seperjuanganmu. Engkau akan merasainya bila mana kamu dapat membezakan siapa sahabat dan siapa pula musuh kamu.

“Lalu kamu akan bertindak selaras dengan kedudukan itu. Kamu akan merindui sahabatmu bila mana kamu tidak menemuinya atau kamu tidak berhubung dengannya,” katanya melalui tulisan di Facebooknya.

Tuan Ibrahim menjelaskan, keberadaan ahli dalam parti bukan bertujuan menyusahkan parti atau kepemimpinannya, justeru ahli PAS perlu berusaha membantu parti dan pemimpin dalam apa juga situasi.

“Ukhuwah ini lahir daripada hormat serta thiqah (percaya) kita dan pada waktu sama adalah akhlak kita. Engkau tidak mungkin merasainya tanpa sifat itu.

“Lantaran itu, belajarlah untuk menghormati orang lain atau pandangan yang berbeza dengan kita. Engkau perlu menghormati pimpinan dan sahabatmu kerana ia adalah sebahagian daripadamu dalam jemaah.

“Ia lebih daripada apa yang kamu ada di dunia ini. Pandanglah dengan mata hatimu sebelum engkau memandangnya dengan mata zahirmu,” katanya.

Beliau berkata, jika keadaan di dalam parti mengalami ‘goncangan’, maka usah keruhkan lagi hingga merosakkan ukhuwah.

“Bila air keruh, hentilah sementara untuk bagi masa air tenang dan jernih semula. Biarlah sekadar kocak-kocak air yang tidak mengeruhkan keadaan dan merosakkan ukhuwah jemaah. 

“Kalau berlumba, wahai sahabatku, biarlah hanya ke arah menambahkan kebaikan dan saling memperkukuhkan jemaah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button