Berita Utama

Bangladesh sambut baik keputusan ICJ teruskan kes genosid Rohingya

Menolak empat bantahan awal dilakukan oleh Myanmar

DHAKA, 23 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Bangladesh menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Jumaat yang menolak bantahan awal Myanmar dan membenarkan kes pembunuhan beramai-ramai (genosid) Rohingya yang difailkan oleh Gambia diteruskan.

Keputusan itu menolak empat bantahan awal atas alasan undang-undang dan prosedur, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan ICJ.

“Bangladesh berpendapat bahawa persoalan keadilan dan akauntabiliti antarabangsa akan menjadi kritikal dalam mencari penyelesaian kekal kepada krisis Rohingya, dan juga akan terbukti sebagai langkah membina keyakinan untuk penghantaran pulang Rohingya ke kampung halaman mereka di Myanmar dengan memulihkan hak mereka yang sah,” menurut Kementerian Luar Bangladesh.

Bangladesh percaya keadilan antarabangsa diperlukan untuk umat Islam Rohingya yang teraniaya kembali ke negara asal secara bermaruah dan satu-satunya penyelesaian untuk krisis yang telah menjerumuskan wilayah itu ke kancah konflik.

Sementara itu, Myanmar dalam hujahnya menyatakan mahkamah berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa.

Gambia memfailkan permohonan di pejabat pendaftaran mahkamah pada 2019 untuk memulakan prosiding terhadap Myanmar.

Pada Januari 2021, junta Myanmar telah mengemukakan bantahan.

Bangladesh menyediakan perlindungan kepada 1.2 juta pelarian Rohingya di Cox’s Bazar sejak kemasukan pelarian pada 2017 yang melarikan diri daripada kekerasan tentera Myanmar. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button