Berita UtamaIstimewa

Perkenal logo baharu, PN berdepan risiko tidak dikenali pengundi

Komponen gabungan perlu kerja keras terutama di kawasan pedalaman

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 23 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Penggunaan logo baharu Perikatan Nasional (PN) merupakan satu risiko kerana ianya belum dikenali khusus dalam kalangan pengundi di kawasan luar bandar.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, PAS bersama parti komponen lain kini perlu bekerja keras untuk melakukan hebahan terutama pengundi di kawasan pedalaman.

“Penggunaan logo baharu ini mungkin ada membawa risiko terutama kepada pengundi-pengundi di kawasan luar bandar, sebab itu PAS khususnya perlu lebih bekerja keras dan membuat hebahan segera.

“Kalau di bandar mungkin tiada masalah dengan logo baharu namun penerimaan terutama kepada pengundi di luar bandar agak berbeza.

“Kalau tak sempat buat hebahan itu yang dikhuatiri membawa risiko kepada PAS, kalau dacing orang kenal kerana sebelum ini Pakatan Harapan juga berdepan masalah sama,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Semalam Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pada dasarnya parti itu bersetuju untuk menggunakan logo baharu yang bakal diperkenalkan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, perkembangan lanjut berkenaan logo baharu tersebut akan dibincangkan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, Prof Mohd Azizuddin berpandangan, PAS dan PN kini berdepan masa yang suntuk untuk memperkenalkan logo sekiranya PRU15 diadakan tahun ini.

“Kalau tak sempat buat, itu yang dikhuatiri pengundi tidak kenal logo kerana sebelum ini Pakatan Harapan juga berdepan masalah sama, orang tidak kenal logo.

“Sekiranya PRU diadakan tahun ini memang PAS dan PN kesuntukan masa untuk perkenalkan namun kalau diadakan tahun depan, Insya-Allah pengundi masih berpeluang untuk mengenali logo baharu PN,” katanya.

Ditanya mengenai jangka hayat Muafakat Nasional (PN), beliau menegaskan keputusan kini terletak di tangan PAS.

Katanya, walaupun tiada hitam putih kesudahan MN namun jelas kelihatan UMNO sudah tidak berminat ke arah kerjasama tersebut.

“Walaupun tiada lagi kata putus mengenai masa depan MN namun realitinya terlalu sukar bagi UMNO untuk kembali bekerjasama dengan PAS dalam PRU akan datang.

“Saya tak nampak prospek untuk PRU akan datang dengan MN walaupun PAS masih kekal dengan pendirian mahu teruskan kerjasama tersebut,” katanya.

Beliau pada masa sama menggesa PAS supaya membuat pilihan tepat sama ada mahu meneruskan MN dan dalam masa sama perlu ‘menyingkirkan’ PN.

“Realitinya sangat sukar untuk MN diteruskan, jadi PAS perlu buat keputusan sama ada mahu bersama MN atau dengan PN tetapi tidak boleh memilih kedua-dua kerana UMNO dan Bersatu ada musuh,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button